Wednesday, 30 October 2019

Masalah Rakyat Diselesai Dengan Berhemah – Dr Azman

SHARE
Azman Ibrahim.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 30 Oktober – Setiap masalah rakyat perlu diselesaikan dengan berhemah agar ia bersesuaian dengan peruntukkan yang disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, semua badan bertanggungjawab harus mencari solusi berkesan dalam memastikan setiap masyarakat dapat hidup dengan sejahtera.

Namun jelasnya, rakyat juga perlu bersabar untuk menikmati kemudahan kerana setiap permasalahan memerlukan masa dan tidak mampu diselesaikan dalam sekelip mata. 

“Tentu sekali 100 peratus aduan yang diterima tidak mampu diselesaikan sekali gus dalam satu-satu masa, ini kerana peruntukan pun ada hadnya. Yang belum sampai giliran, kita maklumkan dengan baik. Bukan tak lulus, cuma kena sabar sedikit.

“Alhamdulillah, di Jabi perjalanan pembangunan dalam kampung agak lancar hasil kerjasama satu pasukan. Kita bersyukur atas kemudahan dan kelapangan ini,” katanya dalam ‘Facebook’ rasminya hari ini.

Katanya, projek kebajikan seperti penyelenggaraan jalan dan bantuan bencana akan terus rancak berjalan dan tidak hanya tertumpu kepada satu kampung sahaja.

Menurut beliau, sebanyak 37 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi terlibat dalam mengemukakan permasalahan atau isu dalam kampung masing-masing untuk diselesaikan.

“Dengan peruntukkan itu kita akan mengangkat senarai cadangan kerja kepada Jabatan berkaitan seperti Pejabat Daerah, JKR atau Majlis Daerah.

“Peruntukan pula datang dari pelbagai sumber seperti Peruntukan Pembangunan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Peruntukan Bantuan Am Adun, Peruntukan Wang Amanah Jalan, Peruntukan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Peruntukan Majlis Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sebagainya,” tambah beliau.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: