Tuesday, 15 October 2019

Masalah Banjir Kampung Teluk Paku Bakal Selesai

SHARE

Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Setelah hampir 20 tahun dibelenggu masalah banjir, penduduk Kampung Teluk Paku kini mampu menarik nafas lega apabila pembinaan longkang di kawasan terbabit dijangka siap penghujung Oktober nanti.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Paku, Che Ku Anua berkata, pembinaan longkang sepanjang 170 meter itu menelan kos hampir RM200 ribu.

"Penduduk yang tinggal berhampiran jalan utama terbabit sebelum ini telah membuat aduan bahawa setiap kali hujan lebat berlarutan selama 24 jam, jalan terbabit akan dilanda banjir.


"Jadi kita berusaha membina longkang bermula dari sempadan Kampung Pak Nik ke Kampung Sungai Derhaka bagi mewujudkan aliran air keluar dari kawasan itu," ujarnya ketika ditemui pemberita di tapak pembinaan longkang berkenaan, semalam.

Tegasnya, banjir di kawasan itu memberi kesukaran kepada penduduk kampung untuk berulang alik menggunakan jalan tersebut.


"Masalah ini berlaku sejak akhir 80-an apabila penduduk setempat mula tambung tanah untuk membuat rumah dan ia menyekat laluan air.

“Kita berharap masalah banjir di sini diselesaikan dengan adanya longkang yang dapat melancarkan sistem saliran,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: