Wednesday, 23 October 2019

Lot Tanah Atlet Terengganu Ditarik Balik Tidak Benar

SHARE


Laporan tidak benar.
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober – Dakwaan mengenai kerajaan Terengganu menarik balik penyerahan ganjaran berupa lot tanah kediaman kepada dua pesilat negara, Razak Ghazali dan Siti Rahmah Mohamed Nasir adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menegaskan, laporan palsu diterbitkan portal ‘Terengganu Today’ yang turut mengaitkan lapan lagi atlet itu adalah tidak mempunyai sebarang asas.

Katanya, tanah yang dipohon mereka berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong dan menjadi tanah rentahan penduduk setempat.

“Maka kita tidak boleh luluskan permohonan mereka kerana bertindih dengan rentahan orang kampung, tetapi kerajaan sedang mengenal pasti tanah-tanah lain untuk diberikan kepada mereka.

“Kita tidak menarik sebarang ganjaran yang telah disalurkan kepada atlet-atlet negeri kita,” ujarnya ketika dihubungi media hari ini.

Hari ini tular satu laporan yang mengatakan kerajaan negeri menarik balik pemberian lot tanah itu.

Dakwaan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Terengganu.

Sebelum ini, Razak dan Siti Rahmah yang menyumbang dua pingat emas buat negara pada Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016 di Bali, Indonesia menerima anugerah berkenaan di Wisma Darul Iman pada 28 Disember 2016.

Sementara itu, lapan pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) Mohd Shahrun Nabil, Fitri Saari, Faizal Saari, Shahiram Zali, Hafizuddin Othman, Wan Mohd Hazrul, Amirul Mirza Rozi dan Mohd Hazrul Faiz turut menerima lot tanah kediaman.

Pemberian itu dibuat pada 25 Oktober 2016 pada Majlis Penggiat Sukan, Penaja dan Atlet Olimpik, selepas THT mengekalkan kejuaraan Liga Hoki Premier dan Piala TNB tahun 2016.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: