Monday, 7 October 2019

Leka Tangkap Ketam Sanggup Tinggal Solat Jumaat

SHARE



Oleh: Aslam Wira

MARANG, 7 Oktober – Alasan baju kotor kerana menangkap ketam di muara Sungai Pulau Kekabu, antara alasan seorang lelaki berusia 36 tahun sanggup meninggalkan  Solat Jumaat.

Dia ditahan  oleh sepasukan  sukarelawan wanita  Skuad Amar Makruf Nahi Mungkar AMAR dan Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) Daerah Marang serta Kuala Terengganu sebaik selesai mencari ketam untuk jualan..

Ketua AMAR, Nasaruddin Samsudeng berkata, dalam operasi itu, seramai enam lelaki berusia antara 17 hingga 50 tahun  ditahan dan diarahkan hadir ke mahkamah manakala dua lagi lelaki diberi amaran, nasihat serta bimbingan kaunseling.

“Dua antara mereka adalah nelayan yang memberi alasan lewat sampai ke jeti atas sebab bot rosak, jadi mereka ditahan dan diberikan amaran nasihat serta bimbingan kaunseling bagi mengelakkan perkara ini berulang.” Katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman.

Menurutnya lagi, operasi kali ini adalah kesinambungan bagi operasi sebelum ini di mana hebahan dibuat melalui pembesar suara di kawasan rekreasi dan penjaja.

“Langkah ini  bertujuan untuk mendidik dan kita berusaha untuk mengurangkan isu tidak solat jumaat di kalangan lelaki berakal, waras dan baligh seperti yang diwar-warkan  dalam pelbagai saluran sebelum ini.
“Kita difahamkan semasa operasi dijalankan terdapat individu yang turut menggangu kerja-kerja penguatkuasa dan mahu bersubahat,”katanya.

Samsudeng turut memberitahu, skuad Amar akan terus melakukan kerja-kerja amal itu dengan kerjasama  jabatan seperti pejabat agama bagi merealisasikan negeri berkat di bawah syariat islam.

“Kesalahan tidak menunaikan solat jumaat adalah merupakan jenayah syariah di bawah seksyen 16, Enakmen kesalahan jenayah syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, yang akan dikenakan denda maksimum RM3000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: