Wednesday, 9 October 2019

Lebih Satu Tan Sampah Dikumpul Di Pesisir Pantai, Sungai Di Setiu

SHARE
Foto Bernama.
SETIU, 9 Oktober - Lebih satu tan sampah dikumpul menerusi tiga program ‘Plogging’ iaitu berjalan sambil mengutip sampah yang dijalankan di pesisir pantai dan sungai sekitar daerah ini.

 Ketua Program Konservasi Semenanjung Malaysia (WWF-Malaysia), Norizan Mohd Mazlan berkata program inisiatif Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia itu berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penjagaan kebersihan alam sekitar.

Beliau berkata pihaknya telah menjalankan tiga siri program itu pada tahun ini di kawasan Tanah Bencah Setiu yang menjadi lokasi utama program pemuliharaan selain di Lembah Klang.

"Ketiga-tiga program dijalankan di Kuala Baharu, Kampung Mangkuk cuma lokasinya sahaja berbeza-beza.

“Jumlah keseluruhan sampah yang berjaya kita kumpul bagi ketiga-tiga program adalah seberat 1,254 kilogram dari kawasan sepanjang lebih 11 kilometer iaitu di pesisir laut dan juga sungai,” katanya kepada pemberita selepas Program Plogging@Setiu Wetland di Kampung Mangkuk di sini, hari ini.

Beliau berkata seramai 660 peserta terlibat dalam tiga program terbabit yang dianjurkan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Katanya peserta termasuk pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyertai program tersebut pada setiap siri sentiasa meningkat sekali gus menggambarkan tahap keprihatinan pelbagai lapisan masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.

Norizan berkata bagi memastikan keberkesanan setiap program, pihak WWF sentiasa mendapatkan penglibatan segenap lapisan masyarakat termasuk komuniti setempat, pelajar sekolah, mahasiswa dan juga golongan profesional.

Ia bagi memastikan maklumat dapat disampaikan secara lebih menyeluruh dan menepati semua golongan sasar.

“Tugas menjaga kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab semua golongan masyarakat dan ia sebenarnya boleh dilakukan dengan cara sangat mudah iaitu sambil berjalan sambil mengutip sampah.

“Setakat ini kami telah menjalankan banyak program 'outreach' dengan pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Setiu bagi memupuk kesedaran dari awal,” katanya. - BERNAMA


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: