Thursday, 17 October 2019

Lebar Parit Atasi Masalah Banjir Kampung Cerung Binjai

SHARE

Khalil berbincang dengan salah seorang pemaju perumahan berkenaan masalah longkang tersumbat.
Oleh:  Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Aur bersama masyarakat setempat akan mengadakan gotong-royong melebarkan kawasan parit dan membersihkan longkang tersumbat di sekitar kampong Kampung Cerung Binjai sebagai menghadapi banjir yang akan tiba.

Pengerusinya, Che Ku Marzuki Che Ku Dalam berkata, program berkenaan merupakan salah satu usaha mengatasi masalah banjir yang selalu dihadapi oleh penduduk setempat saban tahun.

 “Kita prihatin tentang masalah yang dihadapi mangsa banjir yang melibatkan 18 buah keluarga terpaksa berpindah ke tempat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, tahun lalu.

Che Ku Marzuki. 

Bencana yang melanda menjejaskan dan menyukarkan kehidupan seharian mereka,” katanya ketika ditemui pemberita, di kampong berkenaan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan, pihaknya sudah mengadakan perbincangan antara Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan pemaju perumahan untuk menyelesaikan masalah longkang dan parit yang bermasalah di kampung tersebut.

“Dalam masa terdekat, kita akan menyelesaikan masalah disini untuk memastikan air yang turun dari bukit-bukit yang berdekatan disalurkan baik dan lancar.

“Kita juga akan menyelia dan memproses parit dan longkang yang tersumbat supaya dapat mengurangkan mudarat banjir nanti,” katanya.
ADUN Batu Buruk bersama pihak-pihak terlibat dalam lawatan ke lokasi banjir di kawasannya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: