Saturday, 12 October 2019

Lata Kolam Besut Sentiasa Gamit Kedatangan Pelancong

SHARE
Ariffin bersama Kaswadi meninjau persekitaran Lata berkenaan.
BESUT, 12 Oktober - Lata Kolam Air Ecopark yang terletak dalam daerah ini menjadi destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara apabila mencatatkan puluhan ribu pengunjung setakat September tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri berkata, tempat berkenaan mempunyai  keunikan tersendiri menyebabkan ia sangat digemari pengunjung untuk melakukan aktiviti kekeluargaan dan motivasi.

Jelasnya, keadaan persekitaran turut menjadi faktor utama orang ramai memilih Lata Kolam sebagai tempat percutian walaupun mengambil masa yang lama untuk sampai ke tempat tersebut.

“Sekarang, pengunjung akan membuat perkiraan yang teliti sebelum mengunjungi sesuatu tempat, mereka akan lihat suasana sesuatu tempat sama ada selamat atau tidak untuk melakukan sesuatu aktiviti, keselamatan sangat penting.

“Faktor kedua adalah kebersihan, sudah tentu ini juga adalah aspek yang penting, pelancong tidak akan datang ke sini sekiranya kebersihan di sini dan destinasi lain tidak terjaga dengan baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Taman Trigona Lata Air Deru Ecopark di Taman Trigona Lata Air Deru Ecopark, Kampung La, Jerteh di sini semalam.

Menanam pokok balak bersama pelajar-pelajar UMT untuk menjaga kelestarian alam sekitar. 
Hadir sama, Pengasas dan Pengusaha Lata Kolam Air Deru Ecopark, Kaswadi Harun, Penolong Pendaftar Institut Sains Sosial Bio-Diversiti dan Pembangunan Lestari (IBPTL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Shahrunizam Abd Rashid dan wakil-wakil Jabatan Perhutanan Terengganu.

Menurut Ariffin, perkhidmatan seperti kemudahan elektrik, pengangkutan dan air di kawasan berkenaan juga berada dalam keadaan terbaik.

“Berhubung dengan laluan untuk masuk ke sini, Insya-Allah kita akan cuba berbincang dengan pihak-pihak lain untuk mencari solusi terbaik bagi membina sebuah jalan raya yang sempurna.

“Ia memerlukan banyak masa dan melibatkan banyak perkara serta prosedur yang perlu dipatuhi, sama ada dengan pejabat daerah mahupun jabatan lain,” tambah beliau.

Pelajar UMT turut tidak ketinggalan menjayakan program. 
Dalam majlis berkenaan juga, beliau turut bersama-sama lebih 20 pelajar UMT menanam pokok balak jenis balau pasir, meranti rambai daun, merawan bunga dan cengal sebagai simbolik rasa cakna terhadap alam sekitar yang semakin hilang kekayaannya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: