Tuesday, 15 October 2019

Langkah Elak Kanser

SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Wanita Terengganu digalakkan bersenam selama empat jam dalam seminggu bagi mengurangkan risiko kanser payudara.

Berikut adalah nasihat yang dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk meningkatkan sistem imun dan mengurangkan paras estrogen.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Hajah Zuraida Md Noor berkata, pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu dibuat agar penyakit tersebut dapat dikesan lebih awal.

“Kanser payudara dapat dikesan di peringkat awal dengan pemeriksaan sendiri yang perlu dilakukan sebulan sekali. Kita boleh melihat sendiri perubahan pada payudara, jika ada keganjilan padanya, terus dapatkan konsultasi doktor untuk kepastian.


“Perkara di atas tidak dapat dilakukan sekiranya tahap kesedaran wanita terhadapa ancaman ini masih rendah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Kempen Kesedaran Kanser Payudara di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini semalam.

Oleh itu, beliau mengesyorkan wanita seharusnya tampil dengan perlindungan yang mapan terutama tentang kesihatan dan jaminan kewangan sekiranya menghadapi komplikasi kesihatan.

“Dianggarkan 50 peratus rakyat Malaysia amnya merasa sukar  menyediakan RM1,000 apabila berlaku kecemasan.

“Keadaan ini amat merisaukan dan bertambah parah apabila pesakit dibebankan dengan masalah kewangan pula,” ujar beliau.


Justeru itu, beliau menyokong usaha pihak kerajaan dan swasta bagi memberi kesedaran dan mencegah penyakit yang sinonim dengan kaum wanita itu.

Seramai 400 orang hadir ke majlis tersebut yang dianjurkan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i- MiTS) dan Kuala Terenggannu (KT) Care.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: