Friday, 18 October 2019

Lampu Solar Selesai Masalah Elektrik Di Pulau Kapas

SHARE
Ariffin (dua dari dari kanan) dalam program Jom Gotong Royong semalam.


Oleh :Aslam Wira

MARANG, 18 Oktober - Sebanyak 40 hingga 50 lampu solar bergred tinggi yang akan dipasang di sepanjang perairan Pulau Kapas mampu menyelesaikan masalah elektrik di sana.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, lampu sumbangan syarikat pembekal solar, ItraMAS itu berupaya meningkatkan pencahayaan di segenap pulau terbabit apabila ia dipasang dalam masa terdekat.

"Kami amat berbesar hati atas usaha menyelesaikan masalah elektrik ini dan kami dahulukan ucapan terima kasih kepada ItraMAS, kerana kos lampu ini sangat mahal yang mencecah RM3,000 setiap unit.

"Saya percaya Pulau Kapas ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri sama ada 'daytrip' dari pelancong tempatan atau pelancong luar negara," ujarnya ketika merasmikan program 'Jom Gotong Royong, Beach Clean' di pulau itu, di sini semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Ketua Polis Daerah Marang, Mohd Zain Mat Dris dan Ketua Angkatan Pertahanan Awam Daerah Marang, Kapten (PA) Zabri Abd Razak.
Program seumpama ini mampu mengekalkan keindahan pulau.
Sementara itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Razak yang hadir sama menjelaskan, untuk masa akan datang iaitu sebelum akhir tahun ini, lebih banyak perubahan dan baik pulih akan dilakukan.

Katanya, kerja menambah baik laluan pejalan kaki, tandas, surau, jeti, dan meningkatkan bilangan wakaf melalui inisiatif Pejabat Daerah Marang dan Pejabat Pelancongan Negeri bakal dilaksanakan.

"Kerja-kerja ini akan dilakukan menjelang musim tengkujuh sewaktu Pulau Kapas ditutup dan dijangka siap sebelum dibuka awal tahun hadapan.

"Setiap bulan akan diadakan satu program di sini, pada bulan hadapan Majlis Daerah Marang akan mengetuai kerja baik pulih laluan ‘jungle trekking’, dan ‘underwater clean up’ pada bulan seterusnya.

"Ia adalah sebagai pembuka tirai 2020, untuk menarik pelancong dengan menunjukkan ‘welcoming faces’ yang melibatkan pengusaha-pengusaha di Pulau Kapas ini sendiri," tambahnya.

Program 'Jom Gotong Royong, Beach Clean'
tersebut melibatkan lebih 150 orang peserta yang terdiri daripada jabatan dan agensi di seluruh daerah Marang seperti Pejabat Daerah Marang, Majlis Daerah Marang, Angkatan Pertahanan Awam Marang dan Pejabat Polis Daerah Marang.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: