Monday, 7 October 2019

Konsep Kesaksamaan Beri Keadilan Kepada Rakyat - Abdul Hadi

SHARE
Abdul Hadi (tengah) berjalan menuju ke Parlimen.
KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kerajaan Pusat perlu memberi penekanan penting dalam soal konsep kesaksamaan dalam melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 supaya memberi keadilan ekonomi kepada rakyat semua kaum di negara ini.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau mengikuti ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan wawasan itu baru-baru ini, di mana antara lain menggariskan cabaran menangani jurang ekonomi yang masih melebar di antara kumpulan etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

"Oleh kerana kita perlu memahami konsep keadilan yang sebenar iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya, bukan sahaja konsep persamaan seperti yang ramai diperkatakan tetapi konsep kesaksamaan (perlu ditekankan) kerana ia sangat penting.

"Soalan saya adakah kerajaan mengambil kira konsep kesaksamaan ini dengan tegas kerana negara masih menghadapi kesan penyusunan masyarakat warisan penjajah bukan sahaja perbezaan bandar dan luar bandar, Timur dan Barat, termasuk juga jumlah yang sangat besar daripada bumiputera dan kemampuan pengalaman, kesedaran dan kemahiran itu sangat jauh beza antara mereka," katanya.

Beliau mengemukakan soalan tambahan mengenai pelaksanaan  wawasan tersebut di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Perdana Menteri ketika menjawab soalan itu berkata, Kerajaan Pusat mengambil perhatian segala yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Marang.

Katanya, kerajaan merancang kali ini supaya segala bantuan dan  peluang yang diwujudkan diguna sebaik mungkin.

"Apa yang berlaku dahulu adalah keutamaan diberi tanpa mengambil kira keupayaan mereka yang mendapat peluang ini.

"Dengan itu ramailah menyalahgunakan peluang sehingga mereka tidak dapat hasil yang sepatutnya didapati oleh mereka," jelas beliau.

Kali ini katanya, peluang akan diberi kepada mereka yang menunjukkan minat dan keupayaan.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika mereka tidak mempunyai keupayaan ataupun pengalaman, maka kerajaan akan memberi latihan yang sesuai untuk mereka menguruskan segala usaha untuk menambah pendapatan mereka," ujarnya.

Terdahulu, Dato' Seri  Abdul Hadi dalam soalan asalnya minta Perdana Menteri menyatakan langkah kerajaan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 untuk merapatkan jurang ekonomi dan sosial di antara orang Melayu Bumiputera dengan bukan Bumiputera.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: