Sunday, 13 October 2019

Khidmat Terapi Berkuda Percuma Bermula Oktober Ini

SHARE


SETIU, 13 Oktober- Riding for The Disabled Associated (RDA) Terengganu meluaskan khidmatnya dengan menawarkan rawatan terapi berkuda secara percuma kepada rakyat  negeri ini yang mempunyai penyakit berkaitan tulang dan saraf bermula akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, menerusi pembentangan Belanjawan Terengganu yang lalu, kerajaan negeri ada memperuntukkan RM500,000 kepada RDA Terengganu dengan fokus kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran.


"Terapi berkuda adalah merupakan aktiviti berkuda yang memberi impak positif kepada kognitif, fizikal dan emosi.

“Kita bercadang meluaskan  program RDA ini kepada rakyat Terengganu khususnya golongan dewasa yang memerlukan rawatan terapi berkuda dan tidak tertumpu kepada kanak-kanak OKU dan yang menghadapi masalah pembelajaran sahaja, namun mereka perlu mendapatkan pengesahan doktor perubatan terlebih dahulu sebelum mengikuti program ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran RDA Terengganu yang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin  sempena Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan 2019 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Mohd Azahar serta barisan EXCO kerajaan negeri.


Wan Sukairi yang juga merangkap Pengerusi RDA Terengganu berkata, buat permulaan, program terapi berkuda itu akan dibuat di dua lokasi iaitu di TIEP dan Terengganu Ekuestrian Resort (TER) dekat Kuala Ibai.

“TIEP bagi memudahkan rakyat di sekitar Besut, Setiu dan Kuala Nerus manakala (TER) dekat untuk mereka yang tinggal di Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman mendapatkan rawatan.

"Kita akan cuba adakan program rawatan terapi berkuda ini di satu pusat di setiap daerah agar lebih ramai yang menerima manfaatnya pada masa akan datang," katanya. 

Sementara itu, Wan Sukairi berkata sehingga kini, RDA Terengganu mempunyai seramai 85 orang sukarelawan dan lapan ekor kuda yang disediakan untuk tujuan terapi ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: