Tuesday, 22 October 2019

Kerjasama MPKK, AADK Kurangkan Masalah Penyalahgunaan Dadah

SHARE
Masalah dadah menjadi barah dalam masyarakat. Foto Ihsan - NBC News.

Oleh :  Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan Kampung Pantai Pandak mampu dikurangkan dengan kerjasama erat antara Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Pengerusi MPKK Pantai Pandak, Mohd Hafizi Zakaria berkata, usaha berterusan bagi membasmi gejala tidak sihat itu akan turut digarap bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, program seperti Kempen Anti-Dadah akan dilaksanakan pada peringkat permulaan bagi mencipta gelombang ‘benci dadah’ dalam kalangan masyarakat.

“Saya berharap isu penyalahgunaan dadah ini dapat dibanteras dengan segera bagi menjadikan kampung ini terus aman dan damai tanpa sebarang masalah yang timbul daripada golongan ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Kampung Pantai Pandak, di sini, hari ini.

Mohd Hafizi.
Tambah Mohd Hafizi, langkah berkenaan adalah sejajar dengan hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang mahu mewujudkan bandar sejahtera.

Baru-baru ini dalam satu wawancara Ahmad Amzad berkata, keselamatan serta keselesaan masyarakat pelbagai kaum dan agama adalah sangat penting.

“Di peringkat pentadbiran Kuala Terengganu, kami telah mewujudkan  satu jawatankuasa daerah yang mengumpulkan semua wakil rakyat yang membincangkan segala masalah sosial (jenayah), kemiskinan, ekonomi dan sebagainya.

“Kita boleh tafsirkan bandar raya ini akan menjadi sebuah tempat yang selamat, contohnya apabila kita mampu membanteras gejala rempit yang suatu masa dahulu menjadi barah dalam masyarakat,” tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: