Thursday, 17 October 2019

Kerja Pembinaan Velodrom Azizulhasni Awang Dijangka Bermula November Ini

SHARE


KUALA TERENGGANU, 17 Oktober- Kerja pembinaan Velodrom Azizulhasni Awang yang dirancang sejak beberapa tahun dijangka akan bermula November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, velodrom bernilai kira-kira RM14 juta itu akan dibina di Kampung Balai Besar, Dungun dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

“Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Steven Sim Chee Keong ada menyatakan bahawa kerajaan mengambil keputusan untuk membina velodrom berkenaan dengan segera memandangkan pembinaannya sudah lama tertangguh. 

“Projek velodrom yang menjadi impian rakyat Terengganu itu sudah masuk tender dan dilaksanakan melalui tender terbuka, sebaik pemilihan dibuat, kita berharap supaya kontraktor segera melakukan kerja-kerja pembinaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulai mengenai perkembangan terkini Velodrom Azizulhasni Awang selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kongres Muafakat NGO Terengganu 2019 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali dan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan Negeri Terengganu (UBSNT) Nasir Abdul Razak.

Katanya, dengan terbinanya velodrom nanti kerajaan berharap supaya pelbagai acara perlumbaan basikal bertaraf dunia dapat dianjurkan di negeri ini.

“Ianya juga sebagai penghargaan dan mengenang jasa jaguh berbasikal bertaraf dunia, Azizulhasni yang berasal dari Dungun,”ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: