Thursday, 24 October 2019

Kerajaan Terengganu Pantau Sebaran Komik BRI

SHARE
Ustaz Satiful Bahari (kanan) di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan TATI University College (TATIUC) di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu baru-baru ini.
DUNGUN, 24 Oktober - Kerajaan Terengganu sentiasa memantau sekali gus akan membanteras sebarang ajaran sesat yang cuba disebarkan oleh individu dan golongan tertentu di negeri ini termasuk fahaman komunis.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Ustaz Satiful Bahari Mamat berkata, kerajaan negeri mengarahkan pegawai dan anggota penguatkuasa syariah menggerakkan jentera untuk memantau kegiatan penyebaran ajaran sesat itu termasuk di sekolah-sekolah seluruh negeri itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dengan penyebaran komik berkaitan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China yang berunsur fahaman komunis yang menggemparkan negara hari ini.

Katanya, kerajaan negeri sedang memantau sama ada buku komik itu disebarkan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK) atau sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) di negeri ini.

"Setakat ini kerajaan belum lagi memperolehi bukti komik itu diedarkan di negeri ini, jika kita perolehi bukti yang cukup kita tidak teragak-agak untuk bertindak mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan ajaran sesat itu," tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu berkata, fahaman komunis adalah ajaran sesat yang tidak mempercayai adanya Tuhan dan sesiapa yang menyebarkan ajaran tersebut dalam apa jua bentuk boleh didakwa di bawah Seksyen 14 (1) (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Katanya, Seksyen 14 (1) enakmen itu menyebut bahawa mana-mana orang yang mencetak, menyiarkan, menerbitkan, merakamkan, mengedarkan atau dengan apa-apa cara lain menyebarkan apa-apa buku, risalah, dokumen atau apa-apa bentuk rakaman yang mengandungi apa-apa jua yang bertentangan dengan Hukum Syarak.

"Atau ada dalam miliknya apa-apa buku, risalah, dokumen atau rakaman sedemikian, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," jelasnya.

Menurutnya, mahkamah syariah boleh memerintahkan supaya mana-mana buku, risalah, dokumen atau rakaman yang disebut dalam subseksyen (1) dilucuthakkan dan dimusnahkan, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan berkaitan dengan buku, risalah, dokumen atau rakaman itu.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: