Thursday, 24 October 2019

Kerajaan Negeri Komited Perkasa Pendidikan Anak Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 24 Oktober- Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) komited dalam memastikan kejayaan anak negeri ini dalam bidang pendidikan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa insentif telah dimulakan tahun ini bagi memastikan peluang anak Terengganu terbuka luas dalam mendapatkan pendidikan di segenap peringkat pengajian.

“Ianya merangkumi pengaktifan semula aktiviti penajaan pelajar cemerlang negeri, pengenalan kepada program profesional baharu seperti Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), pemerkasaan program kemahiran bagi pelajar lepasan SPM dan pondok serta  pelbagai lagi program baharu untuk kemajuan pendidikan anak negeri.

 “Selain itu, bagi memantapkan lagi program tahfiz di negeri ini, kerajaan negeri juga telah memulakan langkah bagi pembukaan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu,” ujarnya.


Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali pada Majlis Graduasi Dan Anugerah Hafazan Sekolah Menengah Imtiaz YT 2019 di Dwan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim.

Pada majlis itu, seramai 521 orang pelajar tingkatan lima yang bakal menamatkan pengajian diraikan  dan 300 hafiz serta hafizah yang telah berjaya khatam 30 juzuk al-Quran.

Sementara itu, dalam konteks pemerkasaan program Tahfiz di Sekolah Menegah Imtiaz YT pula katanya, pelbagai program dirangka bagi memperkayakan lagi pembangunan modal insan pelajar melalui Pelan Strategik Imtiaz.

Pelan tersebut diadakan bagi memastikan Sekolah Menengah Imtiaz YT melahirkan pelajar yang holistik dan berdaya saing di pentas global dimana usaha dan tindakan awal telahpun diambil bagi memastikan pelan yang telah dirangka berjaya mencapai objektif dan memberi impak yang positif kepada para pelajar.

Katanya, kerajaan negeri akan sentiasa membuat penilaian bagi memastikan keberkesanan pelan tindakan berkenaan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: