Tuesday, 22 October 2019

Kerajaan Negeri, JPNT Salur Bantuan Kepada Mangsa Kemalangan

SHARE
Lawatan yang diadakan di HUSM semalam.
KUBANG KERIAN, 22 Oktober - Kerajaan negeri memperuntukkan bantuan segera kepada mangsa kemalangan yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheneh Baru, Mohd Zulkifli Ab Aziz bagi menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memaklumkan, jumlah yang bakal diterima oleh Zulkifli adalah bergantung kepada jenis pembedahan dan keperluan semasa seperti kerusi roda.

Beliau berkata, usaha melalui Tabung Darul Iman dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) itu dapat memudahkan urusan pembedahan yang dijadual mengguna pakai kaedah rawatan kecemasan.

“Saya difahamkan (pembedahan menelan kos hampir RM9,000), di mana di bahagian punggung akan dimasukkan tiga atau empat batang besi dan tangan pula sebatang besi, manakala kecederaan di peha mungkin akan dijalankan rawatan lain.

“Kesemua pembedahan ini mengambil masa yang lama untuk sembuh, paling cepat dijangkakan enam bulan untuk kembali normal, segala kos rawatan ini boleh dituntut pembayaran oleh beliau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Zulkifli di HUSM semalam.

Hanafiah berkata, segala keperluan Zulkifli akan diuruskan sebaiknya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah JPNT, Abdul Muie Ngah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim dan wakil Unit Kebajikan HUSM.

Dalam pada itu, menurut Abdul Muie, pihaknya telah mengadakan perbincangan bagi memindahkan tempat kerja Zulkifli yang kini mengajar di Kemaman.

“Kami sedang berusaha untuk membawa balik Zulkifli mengajar di tempat lahirnya iaitu di Kelantan.

“Insya-Allah kami cuba sebaik mungkin untuk memudahkan urusan beliau, namun sudah tentu ia mengambil masa yang sedikit lama,” tambahnya.

Zulkifli terlibat dalam kemalangan pada awal Oktober lalu yang mengakibatkan beliau mengalami kecederaan parah terutamanya di bahagian pinggang dan punggung.
 
Abdul Muie Ngah.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: