Tuesday, 15 October 2019

Kekurangan Husna Tidak Patahkan Semangat Belajar

SHARE

KUALA NERUS, 15 Oktober - Walaupun mempunyai kekurangan fizikal pada diri, tetapi Nur Husna Md Lazim, anak ketiga daripada empat beradik itu tidak pernah patah semangat untuk meneruskan pelajaran demi ibu bapa.

Husna yang berusia 28 tahun berasal dari Pulau Pinang telah disahkan menghidap kegagalan buah pinggang atau ‘End Stage Failure (ESRF) pada Januari 2009.

Beliau merupakan salah seorang penerima Ijazah Aegrotat Sarjana Muda Dietetic dengan Kepujian.

“Saya buat semua ini untuk emak dan ayah saya  sebab dalam keluarga saya tiada lagi yang berjaya dalam akademik.

“Saya  nak bagi sesuatu  pada mak ayah saya sebab  dari awal  lagi mereka dah berkorban banyak  untuk saya,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Idul Ilmi Konvensyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-11 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA, Kampus Gong Badak di sini semalam.


Nur Husna mendapat tawaran biasiswa program Ijazah Luar Negara (PILN) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang farmasi di Jepun pada tahun 2009 tetapi beliau tidak dapat pergi atas faktor kesihatan.

“Saya tak boleh pergi sebab  masa  tu saya macam dah putus asa (nak belajar)  tapi orang sekeliling bagi semangat untuk saya  teruskan. Orang yang saya paling ingat  adalah mak ayah saya.

“Tahun ini (merupakan)  tahun yang ke sepuluh (menjalani rawatan) dialisis sejak  2009. Alhamdulillah saya kuat dan boleh (buat) macam pelajar lain tapi semester akhir bulan Februari baru ini saya tak dapat berjalan,” katanya.

Nur Husna menghadiahkan ijazah yang diterima kepada ibu bapanya yang telah banyak berkorban kepada beliau selama ini.

‘’Ini salah satu cara yang saya buat  setakat  yang mampu untuk bagi dekat  mak dan ayah saya.

“Ayah saya dahulunya bawa lori  tapi lepas saya sakit tahun 2010 ayah berhenti kerja sebab nak kena bawa saya berulang ke hospital kerana waktu itu  baru sakit dan tak stabil lagi," jelasnya.

Ayah beliau, Md Lazim Saari, 57, kini membantu ibunya, Aisah Abdullah, 60, sebagai pengasuh.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: