Saturday, 12 October 2019

Khuatir Salah Guna Akta IPMC Berasas - Amzad Hashim

SHARE
Amzad Hashim.
Oleh: Ammar Rozlan

KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Kekhuatiran rakyat dan blok pembangkang berkenaan salah guna Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menekan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dilihat berasas jika diteliti berdasarkan perjalanan isu membabitkan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) di negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, sebagaimana status komunis di negaran kita, LTTE juga disenaraikan oleh 32 buah negara sebagai organisasi pengganas.

"Namun, apabila PDRM bertindak menahan beberapa suspek termasuk pemimpin DAP yang didapati terlibat dengan LTTE setelah melalui proses siasatan yang begitu lama, tidak sepatutnya keluar kenyataan dari Menteri Kabinet, Lim Guan Eng bahawa mereka mendapat jaminan Polis tiada lagi penahanan pemimpin DAP selepas ini.

"Bagaimana jaminan itu boleh diberi menggambarkan ada tekanan politik terhadap PDRM dalam menjalankan tugasnya," tegasnya melalui kenyataan yang disiarkan di laman Facebook beliau, semalam.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan, DAP lebih-lebih lagi mesti patuh kepada undang-undang Malaysia yang tidak membezakan sama ada rakyat biasa atau pemimpin DAP.

"Ini yang kita khuatir selama ini dengan Akta IPCMC yang boleh digunakan untuk menekan pihak PDRM.

"Ada yang seakan-akan menyatakan LTTE sudah kalah perang, sudah berkubur, tidak berbahaya sokongan diberi kepada mereka seperti perkataan seorang Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago," katanya.

Beliau yang juga merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu menjelaskan, tidak mustahil sekiranya hujah itu diguna pakai, kerajaan nanti akan ditekan untuk tidak bertindak jika ada sokongan kepada gerakan komunis pula atas alasan ia sudah berkubur dan tidak berbahaya.

Kumpulan yang menyokong Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) merupakan salah satu kumpulan pengganas yang mengancam keharmonian negara dan meragut ramai umat Islam serta menjadikan negara Islam sebagai modus operandi.

"Ia mungkin dianggap berkubur. Tetapi ideologi serta metodologi gerakan keganasan mereka amat berbahaya sekali gus mungkin menyumbang kepada perlakuan ganas.

“Kita tidak mahu budaya ganas seperti insiden rusuhan berperlakuan jenayah yang mengorbankan allahyarham Mohd Adib berulang,” jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: