Thursday, 24 October 2019

Kehidupan 'Pok Ya' Sekeluarga Terbela

SHARE
Mohd Nor (kiri) menceritakan tentang kehidupannya kepada Hanafiah (tengah).
Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 25 Oktober - Kehidupan Mohd Nor Jusoh atau lebih dikenali dengan panggilan 'Pok Ya', 65, bersama 2 orang cucunya terbela apabila menerima pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan negeri.

Ia berikutan selepas lawatan yang dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat di Bangsal Sungai, Belakang Tabung Haji Chukai, baru-baru ini.

Hasil daripada lawatan itu, wakil dari Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tengah Chukai berjaya membawa pindah Pok Ya yang tinggal bersama 2 orang cucunya ke sebuah rumah sewa di kampung tersebut.


Manakala sewa bulanan rumah itu sebanyak RM200 akan ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Menurut Hanafiah yang juga ADUN Cukai, kerajaan negeri sangat mementingkan kebajikan rakyat.

"Kita membawa Pok Ya pindah ke rumah lain yang lebih selesa dan selamat. Ia adalah demi kebaikan Pok Ya dan juga dua orang cucunya.


"Kita juga telah membeli sebuah basikal untuk kegunaan cucunya, Che Ku Nazrimi, 14, ke sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mentok dan akan membantu menyambung kembali persekolahan seorang lagi cucunya, Che Ku Akhbar Haqim, 16, yang kini tidak bersekolah," tambahnya lagi.

Pok Ya merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan. Manakala beliau menerima bantuan daripada MAIDAM sebanyak RM1,400 setahun.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: