Wednesday, 30 October 2019

Karnival Sukan Air Dan Tradisional Gamit Lebih 3,000 Pengunjung

SHARE

Oleh: Shahril Aswad
Kredit Gambar: Rashidatul Nisa

HULU TERENGGANU, 30 Oktober : Penganjuran Karnival Air dan Tradisional Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong 2019 berjaya menarik lebih 3,000 pengunjung sekitar daerah Hulu Terengganu yang julung kalinya diadakan pada 26 Oktober baru-baru ini.

Karnival yang diadakan sehari di Persisir Sungai Terengganu di Kampung Temir di sini, menampilkan pelbagai acara sukan air seperti pertandingan lumba perahu kayak, panjat tiang licin, tarik tali dalam air, pukul bantal, menyelam lama dan menjala ikan atas perahu.


Sukan tradisional juga turut diadakan seperti mencari telur tuntung, menangkap itik, tarik upih pinang, rakit darat, bola beracun dan berbagai lagi.

Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata, penganjuran sukan rakyat seperti itu mampu menarik minat dan merapatkan lagi hubungan seluruh lapisan masyarakat, sekali gus mempengaruhi masyarakat luar untuk lebih mengenali budaya tempatan daerah Hulu Terengganu terutama di DUN Telemong.

“Kita berhasrat menjadikan DUN ini terkenal sebagai pusat budaya, sejarah dan sukan tradisional di daerah ini supaya pelancong tidak hanya datang untuk melihat keindahan alam semula jadi di Tasik Kenyir dan Air Terjun Sekayu sahaja tetapi juga mengenali keunikan gaya hidup masyarakat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) seusai perasmian karnival berkenaan.


Turut hadir menyerikan karnival berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri , Dr Mamad Puteh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut menyaksikan demonstrasi membuat laksa kebuk dan melepaskan sebanyak 50 ekor anak tuntung ke Sungai Terengganu.


Tambah Safari, karnival sukan air ini akan dijadikan aktiviti tahunan dan akan dimasukkan ke dalam kalendar tahunan DUN Telemong.

“InsyaAllah, oleh kerana program ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dari kalangan penduduk, karnival sukan air akan dijadikan acara tahunan, jadi kita mahu acara ini diteruskan selaras untuk mengekalkan budaya masyarakat agar tidak dilupakan atau ditelan zaman,” katanya lagi.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: