Friday, 4 October 2019

Karnival Jualan Perkenal Produk Muslim Nusantara

SHARE
Ustaz Sulaiman (dua dari kiri) merasmikan Ekspo Jualan dan Pameran sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-7 Himpunan Huffaz Permata Al-Quran Malaysia di Perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.
KUALA NERUS, 4 Oktober – Ekspo Jualan dan Pameran sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-7 Himpunan Huffaz Pemata Al-Quran Malaysia Peringkat Nusantara di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini bertujuan membina rangkaian perniagaan serta memperkenalkan produk Muslim di kalangan umat Islam senusantara.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Sulaiman Sulong berkata penganjuran ini membuka ruang dan peluang kepada golongan peniaga untuk turut sama menjadi sebahagian daripada kemeriahan majlis sempena berlangsungnya kempen beli barangan Muslim di peringkat kebangsaan.

“Dengan penganjuran program seumpama ini kita mengharapkan supaya ia memberi satu kesedaran dan minat serta usaha begitu bersungguh untuk mempastikan bukan sahaja kita mampu untuk mencipta produk keluaran Muslim bahkan kita juga menjadi pengguna kepada barangan-barangan keluaran Muslim di samping melaksanakan tuntutan mengguna barangan halal dan berkualiti.

“Kita (kerajaan negeri) sangat yakin dan percaya makanan halal dan baik ini bertepatan dengan kaedah disiplin sains pemakanan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Jualan sempena majlis tersebut di perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Ustaz Sulaiman Sulong. 
Katanya, penganjuran himpunan huffaz ini yang julung kali diadakan di negeri Terengganu mempunyai signifikan yang sangat besar kepada seluruh rakyat dan penduduk negeri Terengganu.

“Penganjuran ini sudah tentu meletakkan negeri yang dikenali dengan bumi Darul Iman ini akan menunaikan hasrat kerajaan negeri untuk membudayakan Islam dalam segala bentuk pengurusan dan tata cara hidup bermasyarakat di negeri ini.

“Bukan sahaja ia di peringkat teori tetapi ia menjadi realiti sebenar kehidupan rakyat dan kerajaan negeri Terengganu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan dimaklumkan bahawa pada hari ini sebanyak 109 buah gerai jualan mengambil bahagian dalam program yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok.

Katanya, dari jumlah itu terdapat 67 gerai barangan jualan basah dan 42 jualan barangan kering.


“Dengan penglibatan para peniaga yang mengambil bahagian dalam program ini secara tidak langsung menjadi medium pemasaran dan pengiklanan berkesan bagi memperkenalkan produk mereka kepada pengguna dan secara tidak langsung akan memudahkan lagi pengguna untuk mengenalpasti produk-produk yang sepatutnya mereka gunakan dan mendapat bekalan dalam pasaran.

“Kita berharap para pengunjung dan peniaga terus dapat menjalinkan jaringan perniagaan dan mempastikan barangan jualan mereka sampai kepada pengguna dengan lebih mudah lagi,” tambahnya lagi

Program ini katanya turut disertai oleh agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) yang mempamerkan produk serta perkhidmatan mereka kepada orang awam.

“Pengunjung akan mendapat lebih informasi dan maklumat yang lebih tepat dari agensi terlibat yang akan membantu pengguna secara lebih berkesan untuk menyelesaikan keperluan mereka,” jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: