Monday, 21 October 2019

JPA Kumpul Data Penjawat Awam Alami Tekanan

SHARE

KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengumpulkan data secara terperinci untuk mengenal pasti jumlah sebenar penjawat awam yang mengalami masalah tekanan.

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Dr. Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya masih tidak dapat mengesahkan kesahihan data didedahkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengenai dakwaan lebih 400,000 penjawat awam mengalami tekanan emosi.

“Buat masa ini belum ada lagi data yang lengkap.

“Insya-Allah, kita akan kumpul secara lebih terperinci supaya data itu lebih menyeluruh dan kita juga bercadang melakukan satu kajian untuk mengenal pasti jumlah sebenar,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas isu 400,000 penjawat awam tertekan ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Psikologi Malaysia 2019 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd. Zahari Md. Azahar di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, data berkenaan adalah anggaran kesatuan itu semata-mata berdasarkan kajian yang tidak membabitkan penjawat awam secara menyeluruh.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, Hari Terbuka Psikologi Malaysia 2019 yang dianjurkan JPA dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu itu antaranya untuk mengurangkan stigma negatif mengenai psikologi dalam kalangan masyarakat khususnya penjawat awam.

“Tujuan kita adakan program ini untuk memberi pendedahan kepada penjawat awam supaya boleh menerima bahawa psikologi ini untuk umum kerana selama ini bila sebut tentang psikologi orang ingat gila, masalah mental dan sebagainya.

“Walaupun penyakit mental merupakan penyakit psikologi, selalunya stigma mengenai penyakit mental membuatkan individu itu berasa malu, lemah dan tidak berdaya. Stigma ini yang menghalang mereka daripada mendapatkan pertolongan daripada profesional dan seterusnya memberi kesan kepada kualiti kerja dan kehidupan,” ujarnya.

Katanya, disebabkan itulah pihaknya mengambil inisiatif turun padang untuk mendedahkan kepada umum bahawa dalam kehidupan ini memerlukan psikologi termasuk perlu mendapatkan pandangan terlebih dahulu daripada mereka yang sepatutnya sebelum membuat sesuatu keputusan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: