Sunday, 20 October 2019

JKM Dungun Siap Siaga Hadapi Kemungkinan Banjir

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 20 Oktober- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dungun bersiap siaga menghadapi kemungkinan bencana banjir yang dijangka bulan November nanti oleh Jabatan Meteorologi.

Pegawainya, Mohd  Naufal Yusoff berkata, pihaknya telah menghantar sebahagian bekalan makanan, bekalan keperluan harian seperti toto,tikar serta bekalan keperluan pengurusan diri seperti pampers, ubat gigi, berus gigi dan lain-lain lagi ke pangkalan hadapan.

"Pada 16 Oktober yang lepas, lawatan ke pangkalan hadapan di Kampung Shukor, Pasir Raja telah dijalankan untuk memastikan kesiapsiagaan pengurusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) dalam menghadapi bencana pada bila- bila masa.

" Turut serta dalam lawatan ini Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penghulu Mukim Besol dan Pejabat Kesihatan Dungun yang komited dalam memastikan kesiapsagaan pangkalan hadapan dalam keadaan optimum, " jelasnya yang dihubungi di sini,  semalam.

Naufal turut memaklumkan JKM juga membentuk tujuh jawatankuasa pusat pemindahan banjir dalam memastikan kelancaran pusat berkenaan.

"Tujuh jawatankuasa dalam garis panduan pengurusan bencana banjir ialah Jawatankuasa Pendaftaran, Jawatankusa Bekalan Keperluan, Jawatankuasa Makanan, Jawatankuasa Keselamatan, Jawatankuasa Kesihatan dan Kebersihan, Jawatankuasa Aktiviti
dan Jawatankuasa Sukarelawan yang digerakkan oleh MPKK masing-masing.

"Sekiranya banjir besar berlaku, kita ada dua pusat pemindahan berskala besar iaitu di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin(PSMZA), Dungun dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi," ujarnya.

Tambah beliau lagi, di DUN Rantau Abang disediakan 18 pusat pemindahan yang boleh menampung 3500 orang pada satu-satu masa.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: