Wednesday, 16 October 2019

Hentikan Penjualan Aset Negara - Abdul Hadi

SHARE
Abdul Hadi. Foto Oleh - Parlimen Malaysia.
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Kepimpinan negara diingatkan agar tidak menggunakan jalan pintas untuk mendapat keuntungan dengan menjual khazanah negara.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, penjualan aset, hartanah dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor strategik kepada pihak asing sebenarnya akan merugikan negara dalam jangka masa panjang.

“Segala keuntungan akan menjadi milik orang, dan yang lebih merugikan adalah hilangnya peluang pekerjaan untuk anak tempatan terlibat dalam bidang teknologi tinggi.

“Amat mengejutkan apabila Menteri Kewangan mengumumkan rumah kediaman (kondominium dan apartmen) di negara kita mahu dijual kepada warga asing pada harga RM600 ribu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam.

Terdahulu, Abdul Hadi yang juga Presiden PAS menyeru agar Kerajaan Pusat mengutamakan negara jiran yang bertimbang rasa bagi membina dan membangunkan ekonomi Malaysia.

Di samping itu, pihak pemerintah juga harus memanfaatkan sepenuhnya kekayaan hasil bumi dan tenaga rakyat yang ada di Malaysia.

“Dengan semangat kemerdekaan yang tidak bergantung kepada pihak yang lain, serta bermasyarakat madani ke peringkat antarabangsa.

“Sewajarnya Malaysia mengambil pendekatan hubungan antarabangsa dengan mengutamakan negara jiran dan negara yang bertimbang rasa.

“Bukan dengan negara lain yang masih mahu menjajah dan menjadikan kita buah catur dalam persaingan mereka,” tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: