Saturday, 26 October 2019

HPU Terengganu : Jangan Fikir Untuk Terengganu dan Kelantan Sahaja – Abdul Hadi

SHARE

Kemesraan tergambar antara kedua pemimpin parti terbesar negara ini (Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS (kiri) dan Dato' Seri Dr Ahmad Zahid (kanan). Mereka sepentas lagi di Himpunan Penyatuan Ummah Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri Kuala Terengganu semalam.
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober – Umat Melayu Islam tidak harus terus berkelahi sehingga orang lain mengambil peluang menguasai tapuk pemerintahan negara.

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata semua parti perlu memikirkan bagaimana mahu mengembalikan semula ketuanan Islam di negara ini.

Katanya, semua parti Melayu, UMNO dan PAS perlu memikirkan tentang Malaysia keseluruhannya bukan sekadar Terengganu dan Kelantan sahaja.
Abdul Hadi (dua dari kiri)  dan Dr Ahmad Zahid  (dua dari kanan) menyaksikan Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO Terengganu  dimeterai di Stadium Negeri Terengganu.
Turut hadir Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Said dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, sebelum ini perbalahan berlaku berleluasa di kalangan bangsa Melayu Islam antara PAS dan UMNO sehingga menyebabkan pemerintahan negara didominasi oleh bukan Melayu dan bukan Islam.

“Allah menghukum kita denga hukuman yang sangat berat laksana batu besar yang dihumban ke dalam lubuk yang tenang, tiba-tiba timbul semua penghuni lubuk itu termasuk buaya, ikan, ular dan sebagainya,” jelas beliau.
"Jangan berterusan berkelahi," kata Dato' Seri Abdul Hadi.

Katanya, sememangnya Melayu sinonim dengan Islam kerana apabila disebut Melayu ia dikaitkan dengan Islam.

“Apabila disebut Melayu ia dikaitkan dengan Islam dalam erti kata Melayu itu Islam.  Islam itu Melayu. Jika ada bangsa lain memeluk Islam ia dikatakan masuk Melayu.

“Namun orang bukan Islam tidak perlu bimbang kerana menurut cacatan sejarah tidak ada ideologi yang berjaya memimpin masyarakat majmuk melainkan ajaran Islam,” jelasnya.
Abdul Hadi dan Ahmad Zahid menyaksikan Muafakat Nasional termetrai antara PAS dan UMNO Terengganu di Stadium Negeri Kuala Terengganu.
Katanya, bila Islam menang, agama itu memberi kebebasan kepada mana-mana penganut agama lain untuk mempraktikkan ajaran agama mereka tanpa halangan.


Justeru katanya, untuk mempastikan Islam memimpin semula umat Islam semua bangsa mesti bersatu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: