Wednesday, 23 October 2019

Jalan Diturap, Jemaah Masjid Muhammadi Terharu

SHARE

Jalan raya yang diturap memudahkan urusan orang ramai.
Oleh : Izzat Al-Qushairi

SETIU, 23 Oktober - Projek menaik taraf jalan ke Masjid Muhammadi di Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit yang telah disiapkan baru-baru ini berjaya memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk setempat.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Cempaka, Mohamad Yaakob berkata, impian untuk memiliki jalan raya sempurna akhirnya tercapai setelah jalan ke masjid itu menjadi salah satu laluan yang dinaik taraf.

Katanya, masyarakat di sana terutamanya jemaah masjid sangat menghargai usaha kerajaan dalam memberikan jalan raya sempurna kepada rakyat.

“Di Kampung Bukit Cempaka, laluan ke masjid yang sudah beberapa tahun yang digunakan ahli kariah telah diselenggara. Alhamdulillah, dengan kemudahan jalan berturap ini dapat memudahkan orang kampung ke Masjid untuk menunaikan solat.

“Kemudahan jalan ini bukan sahaja dapat memacu pertambahan penduduk ke masjid malah dapat mengimbangi pembangunan dalam kampung. Lebih-lebih lagi bagi kawasan Kampung Bukit Cempaka yang agak terpinggir dari kawasan lain,” ujarnya ketika ditemui media hari ini.

Jalan ke Masjid Muhammadi.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, walaupun proses penyelenggaraan berjalan agak perlahan, namun ia sudah berjaya disiapkan dengan sempuna di beberapa kawasan.

“Alhamdulillah, dalam tempoh setahun ini kita telah berjaya selesaikan projek menaik taraf jalan di Kampung Darat, Kampung Mengabang Lekor, Kampung Gong Awang Lib, Kampung Tanjung Gelam, Kampung Bukit Agu dan beberapa jalan di Kampung lain lagi.

“Kita cuba laksanakan perlahan-perlahan tetapi berterusan. Semoga ia dapat memberikan sedikit kemudahan untuk rakyat.

“Banyak lagi projek selenggara jalan yang akan dilaksanakan di Batu Rakit dalam masa terdekat. Insya-Allah, semua akan dapat rasa,” tambah beliau.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: