Thursday, 10 October 2019

Jaga Khazanah Alam, Semarak Ekopelancongan Terengganu

SHARE
Ariffin menunjukkan produk keropok keping Terengganu yang dimasak menggunakan pasir bagi menggantikan minyak sebagai simbolik perasmian. 


KUALA TERENGGANU, 10 Oktober- Industri ekopelancongan perlu dimanfaatkan dengan cara menjaga khazanah alam yang dimiliki supaya terus terpelihara dan dapat dinikmati dengan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata ekopelancongan merupakan salah satu produk pelancongan yang semakin popular dan mendapat perhatian, malah telah diperkenalkan bukan sahaja di luar negara malah termasuk di Malaysia.

“Ekopelancongan berbeza dengan konsep pelancongan massa “mass tourism” yang hanya memberi tumpuan dalam mempromosikan dan membangunkan destinasi pelancongan tanpa mengambil kira tentang penjagaan alam sekitar.

“Sebaliknya, ia berkonsepkan alam semula jadi yang melibatkan elemen pendidikan dan pembelajaran kepada pelancong serta penduduk tempatan melalui kepentingan pemeliharaan, pemuliharaan alam semula jadi di samping mereka boleh berhibur, merasai keseronokan dan menikmati keindahan alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin Terengganu (TEMCO) 2019 di Wisma Darul Iman, semalam.

Seminar anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) itu berlangsung selama dua hari melibatkan lebih 100 peserta terdiri daripada pelajar, agensi pelancongan dan pemain-pemain industri pelancongan negeri serta 10 negara  luar seperti Kanada, Afrika dan Amerika Syarikat.

TEMCO merupakan persidangan tahunan yang diadakan bertujuan menarik minat penggiat pelancongan untuk menceburi bidang eko dan marin secara lebih mendalam.

Dalam pada itu, Pengerusi PPNT, YM Tun Baharum Tun Abd Razak berkata, sepanjang 10 tahun pelaksanaan TEMCO, pelbagai cadangan dan pandangan telah diteketengahkan dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai destinasi terulung dalam bidang eko dan marin pelancongan.

“Antara hasil terbesar yang berjaya direalisasikan melalui idea daripada TEMCO ialah penubuhan Perbadanan Taman Negeri Terengganu pada Mei tahun 2018,” katanya.

 Dalam program yang berakhir hari ini, peserta turut dibawa ke Hulu Terengganu untuk melihat produk-produk ekopelancongan yang kaya di daerah tersebut.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: