Tuesday, 29 October 2019

Idea Peserta Persidangan DUN Belia Akan Dibukukan

SHARE


KUALA TERENGGANU, 29 Oktober-  Idea 32 wakil belia dari 32 Dewan Undangan Negeri (DUN)  yang menyertai Program Persidangan DUN Belia Terengganu (PPDBT) pada 23 Disember depan akan dibukukan dan diserahkan kepada kepimpinan negeri.

Langkah itu sebagai usaha memartabatkan dan mengiktiraf suara golongan itu ke peringkat tertinggi.

Pengarah Urus Setia Belia, Sukan Dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Nasir Abd Razak, berkata  dia melihat belia-belia di Terengganu sangat berbakat dan pastinya mempunyai idea yang bernas, bagaimanapun tiada saluran yang tepat untuk dizahirkan.

“Melihat keadaan itu, pihaknya mengambil pendekatan melaksanakan PPDBT yang akan berlangsung pada 23 Disember ini.


“Melalui PPDBT, kita akan kumpul suara-suara bernas belia untuk diangkat sebagai yang berhormat belia atau yang berhormat muda serta turut bukukan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi pertama temuduga sempena PPDBT di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman, di sini, hari ini.

Hampir 200 belia pelbagai latarbelakang berusia antara 18 tahun hingga 30 tahun hadir pada sesi temuduga itu.

Daripada jumlah itu, tiga belia dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipilih untuk menjalani temuduga bagi saringan kedua yang dijangka diadakan awal Disember depan.
Pada saringan kedua penganjur akan memilih mereka yang benar-benar berbakat untuk peringkat seterusnya pada 23 Disember nanti.

Sementara itu Pegawai Belia UBSNT, Mohd Irsyad Syafiq, berkata pemilihan 34 peserta, termasuk seorang Yang Dipertua DUN dan seorang Adun Wanita berdasarkan bakat, berani melontarkan idea bernas dan mempunyai bakat kepimpinan.

“Sebaliknya bukan berdasarkan akademik semata-mata, jika cemerlang dalam akademik sekalipun, tetapi tiada cici-ciri yang diperlukan, sukar untuk menjadi pemimpin yang hebat,”katanya. 
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: