Saturday, 26 October 2019

HPU Terengganu : UMNO Akan Buktikan Keikhlasan Terhadap PAS Bukan Retorik

SHARE

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober. - UMNO akan membuktikan keikhlasan parti itu dalam menjayakan agenda Muafakat Nasional bersama PAS bukan sekadar retorik semata-mata sebaliknya sentiasa diterjemahkan melalui perbuatan dan amalan.

Presidennya, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keikhlasan merupakan asas penting dalam pembentukan tasawur atau wawasan bersama PAS, sekali gus memberi jaminan akan mengerahkan seluruh jentera parti itu dan Barisan Nasional (BN) bagi membantu calon PAS yang bertanding dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen di masa akan datang.

Katanya, perkara sama jelas dilihat semasa PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis apabila jentera UMNO Selangor berkerja keras dan ikhlas dengan sayap Wanita bersama Muslimat PAS di samping Pemuda-Pemuda PAS manakala Puteri dan Ameerah.

"Ketika berlaku kematian di Sungai Kandis, saya turun ke Rusila bertemu Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan memohon agar permuafakatan dapat diterjemahkan dengan kerusi itu hanya ditandingi oleh UMNO dan Alhamdulillah, Tuan Guru dengan berlapang dada serta berjiwa besar memberikan kebenaran kepada kita untuk bertanding.

"Jika ditakdirkan selepas ini ada kawasan Parlimen yang terpaksa diadakan PRK dan ditakdirkan calon PAS bertanding, saya berjanji seluruh jentera UMNO dan BN akan dikerahkan untuk memenangkan calon PAS pula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Penyatuan Ummah Peringkat Terengganu di Stadium Negeri di sini malam ini.

Turut berucap dalam himpunan yang dihadiri kira-kira 10,000 orang itu ialah, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang di samping Naib Presiden kedua-dua parti iaitu Idris Ahmad dan Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob.

Yang hadir sama, Pesuruhjaya PAS negeri, Dato' Husain Awang dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato' Seri Dr Ahmad Said.



Ahmad Zahid turut menyentuh UMNO dan PAS kini ibarat adik-beradik, justeru sudah tiba masanya buat ahli kedua-dua parti itu di semua  kawasan dan cawangan untuk bangkit semula dan mengetepikan perbezaan pendapat masing-masing.

Dalam ucapan tersebut, beliau yang mewakili seluruh kepemimpinan UMNO turut memohon maaf kepada PAS atas segala pergeseran dan kesilapan lalu yang pernah berlaku antara kedua-dua parti.

Katanya, kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan ibrah atau pengajaran besar buat UMNO dan BN sepanjang 61 tahun mentadbir negara sekali gus memohon tunjuk ajar dan ilmu daripada PAS dalam perkara-perkara berkaitan.

"PAS ajarlah UMNO, InsyaAllah kami akan belajar. PAS juga boleh belajar daripada kita. Kita berusaha dan tawakal kepada Allah, InsyaAllah Putrajaya jelas milik kita selepas PRU-15," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: