Saturday, 26 October 2019

HPU Terengganu : Permulaan Kepada Penyatuan Dan Kesatuan Umat Islam

SHARE
Wan Sukairi

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Himpunan Penyatuan Ummah Peringkat Negeri Terengganu akan menjadi satu permulaan kepada penyatuan dan kesatuan umat islam secara keseluruhan di negeri ini.

Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia merupakan satu sejarah khususnya bagi negeri Terengganu apabila dua parti yang bermusuhan atas dasar politik kini bergabung demi agama dan bangsa.

"Satu sejarah dicipta khusus di negeri Terengganu bila kedua buah parti yang berseteru sekian lama, lebih kurang 60 tahun lebih, berseteru atas dasar isu politik.

"Dan hari ini telahpun berjaya kita meterai satu muafakat bersama untuk survival Islam dan orang melayu, dalam keadaan suasana negara yang kita lihat sangat sangat tidak aman dan tenteram dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang baru ini,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas HPU di Stadium Negeri, di sini hari ini.

Tambahnya  apa yang bakal berlangsung di antara Pilihanraya Kecil (PRK) Tanjung Piai akan menjadi satu ujian yang pertama pada muafakat nasional yang telah pun selesai di peringkat nasional pada 14 September lalu dan di peringkat negeri Terengganu pada malam ini.

"Seperti yang telah disebut oleh Yang Berhormat Tuan Presiden PAS bahawa PAS akan menerima sesiapa sahaja calon Umno, Barisan Nasional dan insyaAllah kita sebagai rakan ta’won siyasi atau  rakan politik membantu sesiapa sahaja calon yang akan mewakili Barisan Nasional di Tanjung Piai.. insyaAllah," ujarnya lagi.

Mengulas tentang penerimaan di peringkat akar umbi untuk penyatuan ummah ini, beliau berkata di negeri Terengganu ini khususnya jumlah penolakan itu sangat sedikit dan mereka yang masih lagi terkesan itu sebenarnya semakin dapat menerima terutamanya apabila melihat suasana politik kerajaan PH  begitu menekan survival umat Islam dan agama Islam yang tidak terjamin.

"Seperti yang kita semua tahu  perseteruan yang berlaku di negeri ini khususnya sudah lama dan ia dikata berlaku dalam suasana yang agak hebat juga kesannya kepada orang-orang PAS terutamanya.

" Jadi sudah tentulah sedikit sebanyak kita kata perasaan marah ataupun perasaan berat hati itu berlaku tetapi Alhamdulillah kita cukup yakin orang-orang PAS di Terengganu ini walaubagaimana sekalipun mereka akan patuh dan terima keputusan parti ini,  insyaAllah," jelas Wan Sukairi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: