Friday, 25 October 2019

HPU Terengganu : Penyatuan UMNO Dan PAS Sudah Lama Diimpikan

SHARE
Mohamad Saad (kiri) dan Yahya Mat Zain ( kanan) bersama-sama kibarkan bendera PAS dan UMNO di HPU


Oleh : Ariss Alias

Kuala Terengganu, 25 Oktober - Ahli-ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan United Malay National Organisation (UMNO) digesa melupakan sengketa lama antara kedua-dua parti itu.

Rata-rata orang ramai yang hadir menyatakan penyatuan ini menjadi impian mereka sejak dahulu lagi demi agama, bangsa dan negara.

Ahli PAS Kampung Alor Lek,Setiu Jusof Arif,65 berkata ahli-ahli di peringkat akar umbi perlu mengikut keputusan kepimpinan parti yang bersetuju untuk mengadakan muafakat nasional.

"Persepakatan yang julung kali ini penting untuk menyelamatkan negara dan bangsa," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Stadium Negeri Terengganu, malam ini.

Hasrat sama dinyatakan oleh Ketua UMNO Cawangan Seri Kenangan Mohamad Saad,58 yang menyambut baik Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) untuk negeri Terengganu dan Malaysia.

"Marilah kita sebagai orang Islam dan Melayu sama-sama berganding bahu dalam satu matlamat untuk membela agama dan bangsa yang kini semakin dicabar secara terbuka," tegasnya.

Manakala ketua cawangan PAS Kampung Pelong Yahya Mat Zain,56 menyatakan sudah lama beliau mengimpikan penyatuan atau kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu ini.

"Sebelum pilihanraya lagi saya ingin melihat orang Melayu dapat bersama atas nama bangsa dan agama," ujarnya penuh terharu.

HPU Terengganu diadakan buat kali pertama bertujuan memperlihatkan semangat kerjasama antara dua parti tersebut.

Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Haji Awang dan presiden UMNO Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyampaikan amanat kepada semua rakyat Terengganu yang hadir.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: