Friday, 25 October 2019

HPU Terengganu : Penyatuan Ummah Terima Sokongan Pelbagai Peringkat

SHARE
HPU berlangsung dengan kehadiran ribuan rakyat Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober- Penyatuan dan kerjasama antara dua buah parti terbesar di Malaysia yang dianggotai orang Islam dan Melayu iaitu PAS dan UMNO, semakin diterima penyokong di semua peringkat.

Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO Negeri Terengganu, Zurina Abdul Rahman berkata, penerimaan penyokong kedua-dua parti terutama di kalangan akar umbi terhadap penyatuan itu bertambah baik.

"Di peringkat kampung misalnya, telah ada kerjasama dalam melaksanakan aktiviti seperti program bubur Asyura dan gotong-royong.

Zurina (kiri) dan Engku Naimah (kanan).
"Walaupun kita akui, hubungan yang terjalin masih belum begitu erat, tetapi di semua peringkat penyokong lebih terbuka dan positif dalam menjayakan usaha ini," katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Negeri Terengganu, malam ini.

Perkara tersebut turut diakui oleh Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri, Engku Naimah Engku Taib.

Menurutnya, penyatuan yang berlaku tidak boleh hanya terhenti di peringkat negeri, tetapi perlu dijalin kukuh sehingga ke Putrajaya dalam usaha meninggikan agama, bangsa dan negara.

"Mungkin ada yang berpendapat di situasi Terengganu tidak sama seperti mana di Pantai Barat, tetapi keadaan itu biasalah.

Kedua-dua presiden parti hadir dalam HPU.
"Untuk membina sesuatu yang baharu, memang sukar. Kita dalam proses mengukuhkan titik persamaan dan ia akan ambil masa," katanya.

Kedua-dua tokoh Wanita UMNO negeri itu juga meletakkan harapan agar kerjasama itu berkekalan, bukan untuk mendapatkan kuasa  semata-mata, sebaliknya mencari persamaan dalam mendokong agama Islam dan bangsa Melayu.

Himpunan malam itu berlangsung hangat dengan ucapan presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta wakil-wakil kedua-dua parti.

Seawal jam 8.00 malam, lebih 10,000 rakyat Terengganu membanjiri lokasi himpunan bagi membuktikan sokongan kepada penyatuan dua pihak tersebut.
 

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: