Saturday, 26 October 2019

HPU Terengganu : Penyatuan Demi Masa Depan Anak, Cucu Kita - Idris Ahmad

SHARE
Idris Ahmad.
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Penyatuan dua parti politik terbesar melayu, PAS dan UMNO adalah demi kelangsungan masa depan generasi baharu yang bakal memimpin negara.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menegaskan, kesepakatan yang telah dimeterai itu bukan untuk mencari jawatan ataupun pangkat buat pemimpin kedua-dua parti.

Namun katanya, apa yang dibincangkan ialah berkenaan ancaman terhadap Islam dan masalah anak muda yang semakin membarah.

"Ini bukan tentang masa depan saya ataupun pemimpin-pemimpin yang berada di atas, tetapi demi masa depan anak, cucu kita yang masih mentah.

"Mereka inilah yang akan hidup dan mencorakkam Malaysia pada 50 tahun akan datang, ini erti himpunan kita pada malam ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, gagasan yang dibawa PAS dan UMNO itu berjaya menggerunkan musuh kerana ia telah mewujudkan satu gelombang kesedaran politik baharu.

"Dalam hal ini kita melihat gabungan dua elemen, pengalaman menjadi kerajaan dan pembangkang paling lama.

"Elemen berkenaan menggerunkan mereka dan ia menjadi kunci kepada muafakat ini untuk menyelamatkan negara dengan Islam," jelasnya.

Katanya lagi, PAS dan UMNO juga mempunyai kekuatan di peringkat bawahan berbanding parti pemerintah.

"Kita mempunyai kelebihan ahli di peringkat akar umbi, mereka inilah yang akan melaksanakan dan mencorakkan segala perancangan pemimpin.

"Dengan kekuatan itu kita yakin, Insya-Allah segala masalah yang membelenggu rakyat mampu diselesaikan dengan baik," tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: