Friday, 25 October 2019

HPU Terengganu : Orang Ramai Mula Banjiri Stadium Negeri

SHARE

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Stadium Negeri mula dipenuhi ribuan manusia yang hadir dari seluruh pelusuk tanah air bagi menyaksikan detik bersejarah Himpunan Penyatuan Ummah PAS-Umno hari ini.

Tinjauan wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mendapati ahli kedua-dua parti seawal jam 6 petang sudah mula bersesak-sesak menuju ke stadium.

Kebanyakan yang hadir mengenakan pakaian berwarna putih mengubah suasana yang sebelum ini sinonim dengan warna merah dan hijau.

Rata-rata hadirin penuh bersemangat tatkala pemimpin kedua-dua parti mula memberi ucapan, laungan takbir bergema setiap kali nama pemimpin dipanggil untuk berucap.

Mereka menganggap ini adalah satu permulaan penyatuan dua parti untuk terus mara ke hadapan.

Ab Rahim Said.
Ab Rahim Said, 58, ahli jawatankuasa  PAS cawangan Mak Chili, Kemaman berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir ke himpunan bersejarah ini selepas tidak berpeluang ke himpunan yang berlangsung di Kuala Lumpur sebelum ini.

"Jika selama ni berjuang untuk tarik UMNO bersama, dan hari ini ia telah jadi kenyataan. Saya rasa gembira demi agama, bangsa dan tanah air.

"Saya sangat terharu, sebak sangat ini buat pertama kali PAS-Umno berkumpul bersama selepas sekian lama terpisah," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: