Saturday, 26 October 2019

HPU Terengganu : Nasi Lemak Hijau Jadi Rebutan Pengunjung

SHARE
Safiah sedang melayan pengunjung yang ingin mencuba keenakan nasi lemak hijau di HPU


Oleh : Hidayah Azlin
Foto : Ariss Alias

KUALA TERENGGANU, 26 Oktober – Keunikan Nasi Lemak Hijau yang dijual oleh salah seorang peniaga menjadi rebutan para peserta Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) yang dihadiri ribuan pengunjung, semalam.

Safiah Mohammad, 33, berkata, premisnya itu menyediakan nasi lemak hijau berbeza dari yang biasa dengan membawa  pelbagai aneka lauk, warna dan aroma bau nasi.

 “Nasik Lemak Hijau resepi tersendiri dengan menyediakan pelbagai jenis lauk seperti paru, kerang, ikan aye(tongkol), ikan bilis, ayam goreng, telur rebus, telur mata. menggunakan daun pandan.

"Paling istimewa nasinya menggunakan air daun pandan untuk warna dan aroma sebagai ‘trademark’ untuk perniagaan,’’ katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui semalam.

Katanya, dia telah mengusahakan perniagaan bersama suaminya, Wan Solehuddin Wan Mahmud,38 selama lima tahun lebih itu kini berpindah lokasi di tepi Sekolah Menengah Agama Khairiah sejak sebulan lalu.

"Kebanyakan penjual menjual menu sama menyebabkan orang bosan. Jadi saya cuba tambah menu sambal paru dan kerang dengan harga jualan yang bermula dengan RM2 sehingga RM4 bergantung kepada lauk turut mendapat air mineral ‘free’.

‘’ Biasanya jam 6.30 pagi kami turun, memang tidak menang tangan dah. Biasa kul 10.30 habis dah jualan. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan," ujarnya.

‘Pasangan suami isteri itu menjalankan jualan lima hari seminggu (kecuali Jumaat dan Sabtu) berjaya menghabiskan jualan  200-300 bungkus dalam sehari melainkan jika terdapat tempahan awal.

"Dulu berniaga kepada  jabatan-jabatan kini lebih meluas kepada orang ramai.

Menurut Safiah, doa dan kesabaran merupakan kunci dalam jatuh bangun perniagaan untuk bertahan lama.

" Alhamdulillah, kini bertambah semakin baik. Sabar, yakin pada rezeki dan doalah kunci," katanya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: