Wednesday, 9 October 2019

Hentikan Perintah Berkurung Di Jammu Dan Kahsmir

SHARE
Amzad nyatakan kekesalan atas isu yang melanda Jammu dan Kashmir
Oleh : Ammar Rozlan

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Perintah berkurung yang sedang berlangsung di Jammu Kashmir perlu dihentikan kerana ternyata menjejaskan kehidupan rakyat di sana yang amat memerlukan pembelaan daripada masyarakat dunia.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim sewaktu ditemui pemberita, di lobi Parlimen Malaysia, selepas sesi pagi persidangan Dewan Rakyat, hari ini menegaskan, sekiranya dibiarkan lebih lama ia akan menyebabkan penderitaan kemanusiaan.

"Disebabkan itu, kita minta supaya kerajaan (Malaysia) mengambil segala langkah yang boleh menyelesaikan dalam tempoh terdekat berhubung perkara ini," jelasnya ketika mengulas soalan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil kepada menteri berkaitan isu berkenaan.

Dalam masa sama beliau juga menyatakan kekesalan apabila dibangkitkan mempersoal hubungan Malaysia dengan India yang merupakan rakan dagang kesepuluh negara.

“Ini seakan-akan menunjukkan kebimbangan untuk kehilangan manafaat daripada perhubungan perdagangan dengan (negara) India.

“Tidak seharusnya kita meletakkan soal perut kita (atau) kepentingan kita (dilihat) mengatasi prinsip yang diperjuangkan oleh Malaysia sebagai sebuah negara yang menyanjung tinggi kedaulatan dan keamanan hak asasi manusia," jelasnya.

Amzad dengan tegas berpendirian, bahawa isu di Kahsmir merupakan isu kemanusiaan dan keadilan serta kezaliman terhadap penduduk di Kashmir.

Didalam mencari jalan penyelesaian terhadap kahsmir, beliau dengan jelas turut menyatakan kekecewaan terhadap Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dari Parti Amanah Negara (PAN) yang menyatakan krisis di Kashmir tiada hubung kait dengan agama.

"Ini tidak betul, keadaan yang berlaku sekarang ini adalah dibawah kepimpinan India yang ada sekarang yang kita semua tahu susur galurnya daripada mereka yang fanatik Hindu.

“Kini mereka sedang melalukan tekanan, yang sebenar terasnya lebih kepada isu berkait dengan keagamaan," bidasnya.

Menurutnya,  perkara berkenaan perlu ditangani dan difahami sepenuhnya oleh rakyat Malaysia selain perlu wujudnya inisiatif konsensus (persetujuan bersama) di antara negara-negara Islam perlu bagi menangani isu tersebut.

Lima Ogos lalu, India membatalkan status khas Kashmir sebagai usaha New Delhi mengintegrasikan kawasan itu dengan negeri lain di negara berkenaan.

Kerajaan India memansuhkan Artikel 370, peruntukan Perlembagaan yang memberi status istimewa Kashmir dan membenarkan negeri Jammu dan Kashmir menggubal undang-undang sendiri.

Perintah berkurung turut laksanakan sehari sebelumnya dengan kemasukan 70,000 anggota tentera tambahan yang juga menyaksikan sistem komunikasi disekat, termasuk rangkaian telefon persendirian, perkhidmatan internet dan talian telefon awam.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: