Wednesday, 30 October 2019

Hatrik Lee Tuck Bawa Terengganu Ke 'Final' Piala Kelab Antarabangsa

SHARE
Kapten TFC, Lee Tuck beraksi cemerlang dengan tiga gol.
KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Hatrik pemain berbisa, Lee Andrew Tuck berjaya membawa Terengganu Football Club (TFC) ke perlawanan akhir Piala Kelab Antarabangsa Sheikh Kamal selepas menewaskan Mohun Bagan AC 4-2 di Stadium M.A Aziz, Bangladesh semalam.

Perlawanan separuh akhir menentang kelab gergasi India itu bermula seimbang dengan aksi berbalas serangan kedua-dua pasukan.

Mohun Bagan terlebih dahulu melancarkan serangan berbahaya ke gawang TFC pada minit ke-12, namun kecemerlangan penjaga gol, Ilham Amirullah menggagalkan hajat Mohun.

TFC walaupun turun dengan majoriti skuad muda, sesekali berjaya mengucar-kacirkan benteng pertahanan Mohun Bagan.

Hasilnya, lima minit sebelum separuh masa pertama berakhir, TFC mendapat sepakan percuma selepas Lee Tuck dijatuhkan di luar kotak penalti Mohun Bagan.

Lee Tuck tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila merembat kencang ke sudut kanan gawang Mohun Bagan untuk jaringan pertama perlawanan.

Kedudukan 1-0 memihak TFC kekal sehingga tamat babak pertama.
Kelincahan Syafik membuat pemain Mohun Bagan tak keruan.
Bersambung separuh masa kedua, Mohun Bagan bermula garang untuk mencari gol penyamaan, sepakan penalti yang diperolehi pada minit ke-50 berjaya disudahkan dengan bergaya untuk kedudukan 1-1.

Permainan terus berlangsung rancak dengan aksi berbalas serangan kedua-dua pasukan.

Sembilan minit kemudian Lee Tuck sekali lagi muncul wira TFC apabila menyudahkan sepakan percuma dengan satu tendangan menarik untuk menjadikan keputusan 2-1 sebelum disamakan 2-2 oleh pasukan Mohun Bagan pada minit ke-61.

Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, TFC memperkemaskan jentera serangan, pada minit ke-76, gerakan solo pemain muda, Syafik Ismail berjaya disudahkan dengan jaringan.

Gol tersebut ternyata memberi tonik buat skuad penyu apabila hadir dengan deretan peluang sehingga mendapat sepakan penalti selepas penjaga gol Mohun menjatuhkan Bruno Suzuki pada minit ke-80.

Lee Tuck yang diberi tugas mengambil sepakan berjaya melaksanakan amanah tersebut untuk jaringan keempat TFC dan ketiganya dalam perlawanan itu, keputusan 4-2 kekal hingga wisel penamat dibunyikan.

Piala Sheikh Kamal menghimpunkan pasukan-pasukan elit dari Liga India dan Bangladesh, TFC dijemput menyertai kejohanan itu selaku pasukan khas.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: