Sunday, 20 October 2019

Hanafiah Bantu Pasangan Suami Isteri Maut Nahas

SHARE

Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 20 Oktober - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat menziarahi ke rumah keluarga pasangan suami isteri yang meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya dan meninggalkan tujuh orang anak di Kampung Pasir Raja, Dungun, baru-baru ini.

Beliau ketika ditemui amat berdukacita di atas kejadian yang berlaku ini. Walau bagaimanapun inilah takdir yang harus diterima oleh kita semua.

"Kami (Kerajaan Negeri) mengharapkan datuk serta ahli keluarganya yang lain dapat menjaga dan membesarkan 7 orang cucunya ini dengan baik.


"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dungun telah meluluskan peruntukan daripada 'federal' (persekutuan) sebanyak RM450 sebulan.

"Serta peruntukan daripada negeri juga berjumlah RM450 dan akan menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang akan diperolehi sebanyak RM900 sebulan akan dimasukkan ke akaun datuk serta salah seorang bapa saudara mereka bagi menampung segala kos perbelanjaan tujuh beradik ini.

"Saya juga telah meminta JKM negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM8,000 bagi pembinaan sebuah bilik tidur tambahan di rumah datuknya ini.

"JKM juga telah memberikan sebuah kerusi roda. Manakala Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi pula telah menyumbangkan sebuah katil hospital kepada cucunya bagi memudahkan urusan mereka di rumah," tambahnya lagi.


"Melalui Tabung Darul Iman (TDI) pula kita telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM3,500 untuk membiayai kos perubatan hospital cucunya.

"Saya juga akan memastikan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta agensi-agensi yang berkaitan supaya terus memantau perkembangan keluarga ini dari masa ke semasa.

Ini semua adalah inisiatif yang diberikan oleh Kerajaan di bawah Parti Islam Semalaysia (PAS) yang baru dimana kita sentiasa melihat dan memberikan bantuan kepada rakyat yang berada di dalam kesusahan, insya Allah," ujarnya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar serta ramai lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: