Sunday, 13 October 2019

Giat CSR Bantu Rakyat

SHARE
Hazri Jusoh berucap pada Majlis Maklumat Kepada Umum anjuran Kemaman Bitumen Company (KBC).
Oleh: Alfian Mamad

Kemaman, 13 Oktober - Perusahaan industri diseru untuk mempergiatkan Corporate Social Responsibility (CSR) masing-masing untuk turut membantu kerajaan dalam membina kehidupan masyarakat yang lebih selesa dan sempurna.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh berkata, terdapat banyak kilang besar dan gedung membaik pulih peralatan di sekitar kawasan Kijal terutama di Kawasan Perindustrian Telok Kalong yang boleh memainkan peranan mereka di sektor sosial sekali gus membantu masyarakat sekitar.

"Tidak kami nafikan ada menerima sumbangan dalam bentuk barangan dapur untuk orang miskin semasa bulan Ramadan, tapi keperluan mendesak sekarang adalah membaiki rumah rakyat.

"Banyak kilang di sekitar ini contohnya Eastern Steel, Tosoh, Venator, Malay Sino dan Optimistic Organic yang mampu membaiki rumah masyarakat sekitarnya antara sebuah atau dua buah rumah sebulan jika digabungkan," ujar beliau lagi.


"Dengan kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan sekarang wajarlah kiranya kita turut sama membantu di antara satu sama lain," ucap Hazri Jusoh lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Maklumat Kepada Umum anjuran Kemaman Bitumen Company (KBC) di Dewan Sivik Bukit Kampung di sini semalam.

Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 300 orang penduduk di sekitar Bukit Kuang. Turut hadir, Penghulu Mukim Telok Kalong, Mohd Zazarin Abd Ghani, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan agensi keselamatan Bomba dan Penyelamat.

Selain dari penerangan dan hadiah cabutan bertuah dari pihak KBC, penduduk setempat juga dijamu dengan makanan tengah hari setelah selesai sesi penerangan tersebut.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: