Wednesday, 9 October 2019

Food Court Mesra Mall Perlu Sijil Halal Elak Keraguan Pengguna

SHARE

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN, 9 Oktober - Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) melihat ada keperluan untuk pengusaha food court di Mesra Mall Kertih mendapatkan sijil halal bagi mengelakkan keraguan pengguna berterusan.

Ketua Jabatan Pelesenan MPK, Dr Rosli Mohamad berkata demikian ketika mengetuai lawatan pemeriksaan ke premis perniagaan makanan di food court Mesra Mall Kertih, di sini baru-baru ini.


“Tempat-tempat makan umum seperti ini perlu mendapatkan sijil halal dari pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan tiada keraguan wujud di dalam hati masyarakat.

“Isu paling ketara dalam sehari dua ini ialah kebimbingan masyarakat mengenai pengendali makanan berbangsa asing yang dikatakan bukan beragama Islam menyediakan makanan di sini.

“Hasil pemeriksaan kita bersama Ahli Majlis MPK dan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman sembilan buah kedai telah dilawati.


“Pegawai dari Pejabat Agama Kemaman juga turut hadir membantu  pada petang ini.

“Pemeriksaan kita juga mendapati pengendali makanan beragama Islam walaupun enam premis perniagaan dilesenkan atas nama orang bukan Islam,” kata Dr Rosli.

Menurut beliau juga, pemeriksaan mendapati sumber bahan mentah adalah barangan halal yang sememangnya telah dipantau oleh pengurusan Mesra Mall.

“Bagi pihak MPK, kita akan buat pemantuan bukan sahaja dari segi kebersihan atau pelesenan malah juga aliran atau proses yang dijalankan untuk mematuhi tuntutan halal.

“Pemantuan akan dibuat berterusan bagi memastikan makanan atau sumber yang didapati menyakinkan pengguna Islam di sini,” tambah beliau.

Sementara itu, menurut Pegawai Teknologi Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Nor Juwariah Mukhtar memberitahu, sembilan unit kedai di sini telah mendapat pengiktirafan BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) yang merupakan satu pengiktirafan yang diberikan kepada pengusaha premis makanan bagi menggalakkan penyediaan makanan yang selamat dan sihat.

“Hasil pemantauan hari ini juga, banyak kedai yang ‘okey’ walaupun tidak seratus peratus keadaannya, penambahbaikan masih perlu dilakukan,” ujar beliau.

Mesra Mall Kertih adalah pusat membeli belah utama yang moden terdapat di Terengganu.

Ia berfungsi sama seperti ‘mall’ di bandar-bandar besar yang lain dengan mempunyai campuran perkedaian runcit dan gudang pakaian dengan jenama global yang menjadikan Mesra Mall sebagai hub atau pusat sehenti untuk membeli-belah, perbankan, makan, leisure dan hiburan bagi penduduk Kertih, Kemasik dan Kemaman.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: