Monday, 7 October 2019

Fikir Dahulu Sebelum Sebar

SHARE
Program bual bicara beri pendedahan berkaitan teknologi maklumat dan impaknya kepada pengguna.
Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Sebagai pengguna media sosial hari ini, masyarakat seharusnya berfikir terlebih dahulu sebelum berkongsi atau menyebarkan sesuatu maklumat dalam laman sosial peribadi mereka.

Ketua Unit Konsultasi Aqidah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mohamad Razif Mohamad Fuad berkata, seorang Muslim terutamanya perlu menilai adakah maklumat yang diterima memberi manfaat kepada agama atau sebaliknya sebelum disebarkan.

“Sekiranya ia merupakan perkara yang sia-sia dan tidak memberi manfaat, maka tinggalkanlah ia. Ini kerana antara keelokan Islam ialah meninggalkan perkara yang sia-sia. Kita orang Islam tidak buat perkara yang sia-sia.

"Antara masalah jika kita terpengaruh dengan media sosial, banyak ilmu-ilmu yang kita dapat ini tiada tapisan. Mereka mengambil ilmu daripada media sosial yang tidak tahu dari mana sumber asalnya,” katanya.
 
Program bual bicara berjaya menarik ramai pendengar.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pengisian dalam salah satu bual bicara sempena Karnival Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di Hab Digital Terengganu (TD 1303) Ladang Tok Pelam, semalam.

Menurut beliau, salah guna teknologi maklumat juga didapati terlalu berleluasa dalam masyarakat.

"Ada di kalangan kita melayari laman sesawang "dark web" yang dianggap sebagai lubuk jenayah siber dan mendedahkan pelbagai perkara berkaitan dadah, ekstremisme, pornografi kanak-kanak dan senjata api,” katanya.

Karnival berkenaan diadakan selama tiga hari bermula semalam bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat pelbagai lapisan umur berkaitan dengan perkembangan teknologi ICT semasa.

Penganjuran itu turut memberi peluang kepada agensi-agensi kerajaan negeri dan sekolah untuk mempamerkan hasil inovasi mereka dalam bidang ICT.

Antara pengunjung yang hadir dalam program di Karnival ICT.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: