Tuesday, 29 October 2019

Empat Pusat Pelupusan Sampah Di Terengganu Bakal Dinaik Taraf

SHARE
Zuraida (dua dari kiri) mengadakan lawatan tapak ke ‘KT Sentral’ di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto BERNAMA

Sumber : Berita Harian

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober –Empat pusat pelupusan sampah di Terengganu bakal dinaik taraf dengan bersandarkan teknologi yang bersesuaian dengan kapasiti sampah di negeri itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata ia melibatkan daerah Kuala Terengganu, Marang, Kemaman dan Besut di kawasan sedia ada sebagai usaha memperkemas proses pelupusan sampah dan pengurusan sisa pepejal supaya lebih tersusun dan terancang.
Walaupun kadar penghasilan sampah di Terengganu di tahap sederhana, kira-kira 500 tan sehari berbanding negeri maju seperti Selangor yang jauh lebih tinggi iaitu kira-kira 7,000 tan sehari dan Kuala Lumpur 3,000 tan sehari, sistem pengurusan sampah dan sisa pepejal di negeri ini tidak tersusun.
Katanya, pusat pengumpulan sampah di Sungai Ikan, Setiu; Pengkalan Keling (kini dikenali Paya Rawa) di Besut; Tertak Batu, Marang dan Bukit Jemalang, Kemaman, akan dinaiktaraf dalam masa terdekat.
“Empat pusat pelupusan sampah utama itu hanya tempat pengumpulan sampah dan bukan pusat pelupusan sampah yang teratur dan bersistem.
“Justeru, ia perlu dinaiktaraf dan kita akan menggunakan beberapa teknologi. Memandangkan kapasiti sampah di Terengganu belum sampai ke peringkat tinggi, kita akan gunakan teknologi lebih kecil antaranya dari segi pengasingan sampah dan memproses sisa makanan, manakala bakinya akan masuk ke pelupusan sampah.
“Selain menggunakan insinerator, kita akan proses sisa sampah untuk jadikan gas dan tenaga. Kalau sistemnya sudah teratur, kemudian apabila negeri ini semakin membangun, ia akan menjadi mudah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak ke ‘KT Sentral’ di sini, hari ini.
Mengambil Selangor dan Kuala Lumpur yang menghasilkan kadar sampah yang tinggi setiap hari sebagai contoh, Zuraida berkata, isu pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap adalah penting.
“Kalau diikutkan, negeri maju lebih banyak sampah. Tetapi isunya adalah pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap adalah penting. Kalau pengurusan sampah itu tidak elok, sampah sedikit pun akan menimbulkan masalah.
“Sebab itu di negeri maju pengurusannya lebih kemas dan banyak menggunakan teknologi baharu supaya sampah boleh dikitar semula dan boleh menjadi sumber pulangan wang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri dalam proses melantik operator yang boleh menaik taraf tapak pelupusan berkenaan dan pihaknya menjangka ia dapat dilaksanakan dalam masa satu setengah tahun sebelum boleh beroperasi.
“Kita cadangkan supaya kerajaan negeri melantik operator swasta yang akan melabur untuk menaik taraf pusat pelupusan sampah ini supaya tidak membebankan kewangan kerajaan negeri,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: