Sunday, 20 October 2019

Duta TM Pusat Khidmat DUN Langkah Cegah Kecurian Kabel

SHARE
Dato' Yahaya dan sebahagian ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong melihat infrastruktur telekomunikasi di Stesen TM.



KUALA TERENGGANU, 20 Oktober- Telekom Malaysia (TM) merancang untuk mewujudkan program duta TM di pusat-pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri Terengganu sebagai usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan memastikan infrastruktur telekomunikasi sentiasa dipelihara.

Pengurus besar Negeri TM Terengganu, Mohd Yazid Abd Manaf memaklumkan, ia berikutan kes kecurian kabel tembaga paling kerap dan tertinggi yang dicatatkan negeri itu.

“Kita sekarang ada program duta TM di sekolah-sekolah yang berperanan menjadi rujukan bagi sebarang masalah telekomunikasi di institusi itu dan kalangan guru.
 
Mohd Yazid.
“Jadi, kita mahu perluaskan inisiatif ini dengan mewujudkan duta di pusat khidmat DUN untuk membantu penduduk sekitar serta sebagai program memasyarakatkan TM,” jelasnya.

Tambahnya, pelan tersebut merupakan antara cadangan yang dikemukakan dalam Lawatan Kerja  Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali bersama sebahagian sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ke Stesen Pemancar TM di Bukit Besar, baru-baru ini.

Menurut Yazid, ia juga selaras dengan penjenamaan syarikat tersebut di negeri Terengganu iaitu TM sebagai ‘Teman Masyarakat’.
 
TM turut bertanggungjawab dalam penyiaran saluran televisyen digital.
“Dari segi perkhidmatan, TM mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Bertepatan dengan itu, kami memahami akan  pentingnya untuk TM memastikan infrastruktur terutama di kawasan-kawasan  industri disediakan dan dijaga dengan baik,” katanya.

Menurutnya, kabel tembaga mendapat permintaan tinggi berikutan harganya yang mahal sekitar RM18 sekilogram menyebabkan kegiatan itu terus berlaku dan daerah Besut mencatatkan kes tertinggi kecurian kabel yang telah direkodkan.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: