Sunday, 6 October 2019

DUAT Terengganu Taja 2,000 Naskhah Al-Quran

SHARE

KEMAMAN, 6 Oktober - Sebanyak 2,000 naskhah al-Quran telah diagihkan melalui Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diberikan kepada pondok, madrasah dan institusi pendidikan di sekitar Kemaman.

Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Muhammad Ramlan Mahmood berkata, agihan kitab al-Quran itu demi memenuhi keperluan dan kegunaan anak-anak tahfiz dan masyarakat setempat.

"Alhamdulillah, jika kita lihat, institusi pondok dan tahfiz makin bertambah di daerah Kemaman ini, dan sudah pasti memerlukan kitab al-Quran yang banyak.


"Menyedari hakikat itu, pihak DUAT tampil mengagihkan 500 nashkah al-Quran setiap DUN menjadikannya 2,000 nashkah kesemuanya," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Daerah Kemaman berkata demikian ketika ditemui selepas sesi penyerahan replika al-Quran bersempena program Tour Quranic Bersama Daie Terengganu 2019 di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), baru-baru ini.


Terdahulu, program yang dihadiri sekitar 250 peserta itu menampilkan Syeikh Shawafdi yang mempunyai ijazah al-Quran bersanad Hafs 'An 'Asim dalam slot talaqi bersanad bagi surah al-Fatihah dan al-Ikhlas dan juga Dr Azizul Hassan, seorang pakar pengajian al-Quran di dalam slot Al-Quran Wiridku.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid dan Pegawai DUAT DUN Chukai, Ustaz Ahmad Khairuddin Mohd Zaki.

Katanya lagi, program yang julung-julung kali diadakan ini mendapat kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) Iman Care dan program yang sama juga akan turun ke daerah yang lain pula.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: