Wednesday, 9 October 2019

Dato’ Yahaya Melawat Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud

SHARE
Dato' Yahaya Ali

HULU TERENGGANU, 9 Oktober – Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali mengadakan lawatan kerja ke Stesen Janaelekterik Sultan Mahmud Kenyir di sini semalam bagi mendapatkan maklumat jelas berhubung dengan operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 Beliau berkata, lawatan ke stesen berkenaan adalah lawatan ke empat beliau bermula dengan lawatan ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, Syarikat Air Terengganu, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Terengganu dan semalam ke stesen berkenaan.

 “Kita mahu selesai terlebih dahulu lawatan-lawatan ke pejabat agensi-agensi kerajaan khususnya yang berkait dengan utiliti.

Zuraida (kanan) dan Toh Puan Zarani hadir di Majlis Taklimat TNB di Kenyir.

“Lawatan ini bertujuan untuk mendapat maklumat dari agensi kerajaan secara ‘first hand’ (dari sumber asal) khususnya untuk makluman ADUN bagi menyelesaikan isu berkait dengan TNB,” jelasnya .

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis taklimat TNB kepada delegasi Dewan Undangan Negeri (DUN) ke stesen berkenaan semalam.

Turut serta Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Hishamuddin Abdul Karim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi;  ADUN Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong; ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim; ADUN Wanita, Zuraida Md. Noor dan Pengerusi Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Khairunnisa’) To' Puan Zarani Othman.

Ustaz Muhammad Khalil (kanan) dan Ustaz Sulaiman turut hadir dalam Majlis Taklimat TNB di Kenyir.
Dato’ Yahaya seterusnya berkata, sebagai sebuah kerajaan, kepentingan rakyat diutamakan termasuk soal kebajikan dan kesejahteraan mereka.

“Isu berkenaan rakyat mesti ditangani dengan sebaik-baiknya. Wakil-wakil rakyat adalah sebagai medium (perantara) ,menyelesaikan isu-isu berbangkit.

“Apa yang penting kita melawat dan berbincang untuk isu rakyat ini,” jelasnya.

Menurut beliau, TNB adalah sebuah syarikat gergasi korporat yang memberikan perkhidmatan tenaga elektrik kepada rakyat .

Sebab itu katanya, apa sahaja isu berbangkit mengenai infrastruktur dan utiliti adalah isu utama yang mesti diselesaikan.

“Di peringkat legislatif, kita bersifat proaktif dalam menyelesaikan isu-isu seumpama ini,” jelas beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: