Tuesday, 22 October 2019

Dataran Batu Putih Destinasi Baharu Pelancongan

SHARE
MB (kanan) melawat gerai membuat Manisan Nyior di Dataran Batu Putih.

MARANG, 22 Oktober - Dataran Batu Putih dijangka menjadi satu destinasi pelancongan baharu di daerah Marang dengan cadangan mewujudkan pasar terapung dan  memusatkan jualan produk tempatan di sini.

Serentak itu Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Terengganu bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM100 ribu kepada komuniti Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Batu Putih bagi membangunkan dataran berkenaan.


Katanya, apa yang dipamerkan di Kampung Batu Putih ini adalah aktiviti pelancongan komuniti.

"Kerajaan Negeri mengharapkan lebih banyak komuniti di Terengganu yang mempamerkan keunikan produk di tempat masing-masing dan cuba 'explore', cari jalan bagaimana mengangkat produk mereka menjadi tarikan (pelancong dalam dan luar negara)," jelasnya.
MB (tiga dari kanan) bersalaman dengan ahli komuniti Batu Putih setibanya beliau di dataran kampung itu bagi melihat sendiri aktiviti pelancongan di situ.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di dataran tersebut hari ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu berkata,  komuniti Batu Putih yang mempunyai 16 keluarga mampu untuk menukar dataran itu daripada tempat yang tidak ada apa-apa kepada satu  destinasi  yang menjadi tumpuan ramai.

"Saya percaya di seluruh negeri Terengganu ada tempat sebegini juga.

"Di Hulu Terengganu dan di kawasan pantai umpamanya, ada keunikan sendiri dan sebenarnya peluang sebegini harus direbut oleh seluruh komuniti di mana sahaja mereka berada," ujarnya.
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri (tengah) ketika ditemubual pemberita di Dataran Batu Putih hari ini.
Katanya, perbincangan perlu dibuat sesama komuniti apa yang mereka boleh buat.

"Insya Allah jika Kerajaan Negeri melihat bahawa mereka ada inisiatif, ada kesungguhan  menyeluruh, boleh merapatkan silatur rahim antara komuniti, kita akan mencari jalan untuk membantu.


"Sebab itu tadi saya isytihar untuk memberi bantuan sebanyak RM100 ribu bagi menghidupkan tempat berkenaan. Tempat lain jika boleh dibuktikan boleh buat sebagaimana di Dataran Batu Putih, kerajaan sedia membantu," jelasnya lagi.

Tambah beliau kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan  bantuan daripada Kementerian Pelancongan kerana kementerian itu ada geran tertentu yang boleh  digunakan untuk tujuan tersebut.
MB bertanyakan sesuatu kepada peniaga pasar terapong di Dataran Batu Putih dalam gimik cadangan pasar itu di dataran berkenaan. 

Dr Ahmad Samsuri berkata kerajaan berharap mereka merasakan ini juga satu produk pelancongan yang memberi manfaat bukan sahaja kepada negeri tetapi kepada negara.

"Untuk manfaat bantuan RM100 ribu itu komuniti perlu berbincang bersama Jabatan Pelancongan Negeri dan Pejabat Daerah Marang bagaimana bantuan itu boleh dimanfaatkan untuk komuniti dan dataran Batu Putih.

"Kerajaan negeri juga sudah ada komitmen dari sebuah syarikat multi nasional dan kertas kerja akan dihantar kepada mereka supaya  turut memberi sumbangan tanggungjawab sosial koperat (CSR) kepada komuniti di sini," ujarnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: