Saturday, 5 October 2019

Cacat Penglihatan Tidak Halang Adam Bergelar Hafiz Al-Quran

SHARE
Adam Hussaini bersama ibu tercinta.
KUALA NERUS, 5 Oktober - Cacat penglihatan tidak menghalang Adam Hussaini Mohd Rosli, 17, untuk menghabiskan hafazan 30 juzuk al-Quran, sekali gus menerima sijil hafazan dalam Konvokesyen Himpunan Huffaz Permata al-Quran Malaysia Peringkat Nusantara kali ketujuh, di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

Anak bongsu daripada empat adik-beradik itu merupakan antara 1,076 Huffaz dalam majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat.

Dia yang menuntut di Maahad Tahfiz dan Pengajian Islam Darul Hijrah di Baling, Kedah berkata, setiap hari dia akan memperuntukkan masa kira-kira 15 jam untuk membaca al-Quran dengan braille.

Kata Adam lagi, dia bercita-cita menjadi seorang ustaz supaya dapat membalas jasa dan mendidik masyarakat terutamanya golongan yang senasib dengannya.

Ujarnya, Anugerah yang diperolehi hari ini juga berkat sokongan dan motivasi semua pihak termasuk orang yang terdekat dengannya.

“Kejayaan yang dicapai hari ini tidak akan berlaku tanpa pengorbanan dan dorongan daripada ibu bapa saya, kerana mereka saya berjaya.
Adam menerima sijil tamat hafazan daripada Satiful.
“Minat untuk mempelajari al-Quran braille sejak sekolah rendah turut mendorong saya untuk terus bersemangat menghafaz al-Quran,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis berkenaan.

Turut hadir, Presiden Permata Al-Quran, Manolito Mohd Dahlan dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah.

Dalam pada itu, Satiful dalam ucapannya memaklumkan, sijil graduan yang diperoleh para Hafiz dan Hafizah hari ini adalah sebagai suatu nilai tambah kepada mereka dalam melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi ataupun di alam pekerjaan.  

“Kita mahu terus melahirkan profesional muda, yang dipilih daripada penghafal-penghafal al-Quran yang menjadi hafiz serta cemerlang dalam pengajian semasa (bidang profesional).

“Pembangunan kurikulum tahfiz kerajaan diharap bukan hanya ampu melahirkan huffaz yang pakar dalam bidang al-Quran tetapi juga mahir dalam bidang ilmu-ilmu semasa untuk menjadi tokoh penting pada masa akan datang,” jelasnya.

Tambah Satiful, kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh sebarang usaha untuk memartabatkan al-Quran dalam kehidupan seharian dan mengaplikasikannya dalam pentadbiran kerajaan.

Kata Satiful, para Hafiz dan Hafizah adalah golongan terpenting dalam membina masyarakat Rabbani.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: