Tuesday, 15 October 2019

Banjir Dijangka Melanda Terengganu Bulan Depan

SHARE

 
Che Adam (duduk baju biru) bersama agensi yang terlibat dalam JPBN selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Foto: JPBN





KUALA TERENGGANU, 15 Oktober -Terengganu siap siaga menghadapi banjir ekoran musim Monsun Timur Laut dengan kekuatan 3,292 pegawai dan anggota dari semua agensi terlibat yang kini berada dalam siap sedia sepenuhnya turut dibantu 633 aset serta jentera.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBN), Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Jabatan Meteorologi Terengganu memaklumkan buat masa sekarang Terengganu berada dalam tempoh fasa peralihan monsun tersebut yang boleh menyebabkan berlakunya banjir bermula awal atau pertengahan bulan depan dan berakhir sehingga Mac 2020.

Menurutnya, semua pejabat daerah telah menjalankan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) di kawasan masing-masing sebagai penyelarasan persiapan menghadapi bencana banjir.

Sekarang ini, Pantai Timur telah memasuki tempoh fasa Peralihan Monsun dan sehubungan dengan itu. Pihaknya telah mengaktifkan sebanyak 12 buah Rangkaian Stesen Pencerapan Meteorologi Malaysia (Real Time Data), di seluruh Terengganu.

"Bilik Gerakan Bencana Negeri (BGBN) juga akan mula beroperasi secara pasif iaitu pada waktu pejabat sebaik saja musim Monsun Timur Laut bermula secara rasmi dan berfungsi secara 24 jam apabila berlaku banjir di sesuatu lokasi," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Terengganu (JKM) juga telah menyediakan stok bekalan bantuan banjir di 142 stor pangkalan hadapan seluruh negeri yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta.

Katanya, sebanyak 553 pusat pemindahan di seluruh negeri kini bersedia dibuka sekiranya berlaku banjir dan ia boleh menampung lebih 131,000 mangsa dalam satu masa.

Tambahnya lagi, komuniti diperingkat daerah melalui, Pejabat Daerah, Sekretariat JPBD dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), telah dan masih dalam proses diberikan pendedahan berkaitan dengan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir, seperti seminar, latihan asas keselamatan, simulasi menyelamat ketika bencana dan sebagainya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: