Tuesday, 15 October 2019

Bajet 2020 - Pastikan Sampai Ke Sasaran

SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di parlimen baru-baru ini menyaksikan beberapa penyusunan baharu bagi sektor pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata penyusunan Bajet Pertanian 2020  perlu mencerminkan perancangan dan hala tuju negara untuk menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhannya terutama golongan petani.

Katanya, pelbagai jangkaan  yang bakal berlaku dalam situasi kelembapan ekonomi negara perlu diambil kira kerana ia akan memberikan kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

Tambah Dr Azman, Kementerian Pertanian ialah 'Kementerian Makanan Negara' oleh itu selaras dengan pertambahan bilangan penduduk di atas muka bumi Malaysia, maka bilangan mulut yang perlu disuap makanan juga bertambah.

“Selaras dengan moto 'Our Food, Our Future' maka peruntukan seoptimun mungkin perlu disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA),” ujarnya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, bukan semua perkara dalam sektor pertanian perlu dikira tentang untung dan rugi malah perkiraan yang paling utama ialah food security atau jaminan keselamatan makanan negara.

“Sektor pertanian ialah sumber utama ekonomi orang Melayu Bumiputera. Di sektor inilah kita akan temui di mana berkumpulnya golongan B40.

“Nak bantu mereka bermakna kita perlu mengoptimumkan sedaya mampu sektor ekonomi yang diceburi mereka termasuklah dari segi peruntukan bajet. Kita utamakan bajet yang benar-benar sampai ke sasaran dan manfaatnya dinikmati oleh majoriti rakyat,” jelasnya lagi.

Malah katanya, satu lagi keutamaan kerajaan perlu memperbanyakkan saluran bajet yang berbentuk pemberian joran pancing dan bukannya bagi ikan.

“Ramai rakyat yang ingin berusaha tetapi ada sekatan dan keterbatasan keupayaan yang memerlukan bantuan kerajaan. Inilah antara fungsi utama bajet di mana ramai rakyat yang datang dengan cadangan kerja yang mereka nak buat, akhirnya ditanya apa yang kerajaan boleh bantu,” ujar beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: