Monday, 21 October 2019

Azizulhasni Pertahan Emas Di Korea

SHARE
Azizulhasni Awang.
KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Selepas terlepas pingat emas dalam acara keirin pada Jumaat lalu kepada pelumba Jepun, Yuta Wakimoto, jaguh trek negara, Azizulhasni Awang berjaya membalas dendam sekali gus membuktikan kehebatannya sebagai jaguh pecut Asia apabila merangkul pingat emas pecut lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia ke-40 sebentar tadi.

Dalam saingan final di Veldorom Jincheon National Training Center di Korea Selatan itu, Azizulhasni selaku juara bertahan yang tewas pada perlumbaan pertama berjaya bangkit untuk memenangi perlumbaan kedua dan penentuan bagi menewaskan Wakimoto sekali gus menghadiahkan emas pertama negara pada kejohanan kali ini.

Azizulhasni yang mengalami retak tulang jari telunjuk tangan kanannya ketika sesi latihan empat minggu lalu sekadar memperoleh perak pada acara keirin pada Jumaat lalu apabila pingat emas dimenenangi Wakimoto.

Malaysia terlepas satu lagi pingat dalam acara pecut lelaki apabila seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom tewas kedua-dua perlumbaan kepada pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya dalam perlumbaan perebutan pingat gangsa.

Sementara itu, langkah dua lagi pelumba wanita negara yang mara ke pusingan separuh akhir keirin terhenti di situ apabila Anis Amira Rosidi yang bersaing dalam kumpulan pertama sekadar menduduki tempat terakhir daripada enam pelumba sementara Fatehah Mustapa menduduki tempat kelima kumpulan kedua sekali gus kedua-dua mereka gagal meneruskan saingan ke pusingan akhir penentuan kedudukan 1-6.

SUMBER: BERITA HARIAN
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: